Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap ketika sesi dialog pada Persidangan Meja Bulat: Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu di Philea Mines Resort Seri Kembangan, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 28 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) adalah bagi menghapuskan kegilaan orang Melayu yang hanya memberi sokongan kepada parti pilihan mereka tanpa mempedulikan latar belakang pemimpin yang disokong.

Katanya, sistem parti tidak dinafikan sebagai langkah paling berkesan sebagaimana dilakukan di kebanyakan negara namun dalam usaha menolak pemimpin yang melakukan salah laku ia tidak begitu keras dilakukan di Malaysia.

“Di Malaysia, kita tak peduli tentang apa yang diperjuangkan asalkan itu adalah parti kita. Ini yang menyebabkan parti memecahbelahkan orang Melayu.

“Kita pegang kepada parti sehingga kita tidak ambil kira lagi tentang apa yang dilakukan oleh parti,” katanya pada sidang media Persidangan Meja Bulat: Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangannya berhubung kewujudan banyak parti-parti politik Melayu ketika ini sehingga menyebabkan orang Melayu berpecah dan Pejuang merupakan salah satu daripadanya.

Dr Mahathir sebelum ini merupakan salah seorang pemimpin parti politik yang lantang menyuarakan isu berkaitan salah laku pemimpin terutama dalam UMNO ketika mentadbir negara.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak merupakan antara individu yang sering menjadi sasaran serangannya.

Dalam pada itu ketika diminta pandangan berhubung langkah supaya pembangkang menyuarakan dengan keras di Dewan Rakyat supaya pemimpin yang melakukan korupsi ditangkap dan disumbat ke penjara, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, semua itu perlu dilakukan mengikut saluran undang-undang.

Ujarnya, ia tidak boleh dibuat secara sesuka hati bagi mengelak seseorang itu dizalimi.

“Kita patuh kepada rule of law mengikut kepada undang-undang. Jadi, kalau kita nak tangkap orang walaupun kita ada SOSMA yang mana kita boleh tangkap orang tanpa dibicarakan boleh jatuh hukuman boleh masuk dalam tahanan, itu satu tindakan yang zalim.

“Itu kita tak nak, sepatutnya ada perbicaraan secara tertib dengan diwakili oleh peguam-peguam dan sebagainya.

“Kita nak apa juga kesalahan yang dilakukan mesti dihukum melalui mahkamah tetapi kalau kita ambil tindakan tangkap sahaja akan berlakulah keadaan yang mana orang yang salah itu menangkap orang yang tak salah.

“Jadi, kita tak capai matlamat kita, kerana kita belum tentu orang yang salah itu ada bukti kesalahan dia,” tambahnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.