Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menghadiri ke Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – DAP jelas mengangkat veterannya, Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri) yang didakwa merupakan individu pertama mendorong pembentukan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.

Menurut Lim Guan Eng (PH-Bagan), DAP terpaksa menunggu selama 44 tahun untuk melihat RUU ini berjaya dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Saya harus juga mengucapkan syabas kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang yang merupakan Ahli Parlimen pertama yang mencadangkan RUU ini termasuk pada tahun 1978.

“Kena tunggu 44 tahun baru usahanya akan terjelma bukan untuk diri sendiri tapi rakyat Malaysia. Perlu juga disebut kerajaan negeri Pulau Pinang pada tahun 2012 telah meluluskan pindaan Perlembagaan melarang perbuatan lompat parti.

“10 tahun selepas itu akhirnya disusuli dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika membahaskan perbentangan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti hari ini.

RUU ini dijangka akan diluluskan petang ini bagi membolehkan kerajaan menghalang aktiviti lompat parti selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, pelaksanaan RUU ini juga akan dapat menghalang gerakan lompat parti seperti Langkah Sheraton berlaku pada 2020 sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

“Peristiwa memalukan yang terus menghantui arena politik negara seperti Langkah Sheraton pada 2020 tidak boleh berulang lagi, hari ini wakil rakyat yang mengkhinati rakyat dan lompat parti dengan sendirinya mengakui mereka telah silap besar dan harus menerima akibatnya.

“DAP merasa bangga bahawa semua 42 ahli Parlimen tidak menjual prinsip dan terus berpegang teguh kepada mandat rakyat yang seharusnya didokong dan tidka dikhinati pada bila-bila masa.

“Tak ada satupun daripada 42 ahli Parlimen DAP lompat mahu pun lari daripada perjuangan DAP juga Parti Amanah Negara,” katanya di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, bekas Menteri Kewangan itu turut mencadangkan agar RUU ini diperkukuhkan bagi memastikan tiada lagi pihak-pihak oportunis yang merancang aktiviti bagi membolehkan lompat parti berlaku.

“Banyak yang perlu diusahakan di masa depan, supaya tidak ada lompong yang membolehkan si opportunis ini terus membolehkan amalan lompat parti.

“Termasuk mereka yang ada dalam dewan ini, mereka akan terus cari jalan untuk lompat parti selepas pindaan perlembagaan ini diluluskan. Tumpuan pindaan ini ialah ke atas wakil rakyat yang lompat parti atau menukar parti atas inisiatif mereka bukan atas dipecat,” katanya mengakhiri perbahasan. – MalaysiaGazette