Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Amin Mohd Shukor

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Selangor mendakwa kerajaan negeri termasuk anak syarikatnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak lagi memberi fokus kepada usaha pemilikan rumah mampu milik.

Naib Ketuanya, Amin Mohd Shukor berkata, kerajaan negeri lebih berminat kepada pembinaan rumah mampu tengok dan nilai komersial demi keuntungan semata-mata serta projek cukup syarat untuk mengaburi mata rakyat.

“Isu yang membelenggu anak-anak muda terhadap pemilikan rumah pertama ini amat serius sekali di Selangor.

“Perkara ini bukan berkait rapat soal kemampuan ekonomi kendiri anak muda, malah ada beberapa polisi asas kerajaan negeri yang dilihat tidak serius dan tidak mesra anak muda bagi diselesaikan perkara ini.

“Sebagai kerajaan yang mentadbir polisi serta pelaksanaan bagi tujuan membantu rakyat itu perlu lebih ‘ikhlas’, efisien dan realistik dalam pelaksanaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pergerakan Pemuda UMNO Selangor mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Pengerusi PR1MA, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya di Ara Damansara, Petaling Jaya, semalam.
Terdahulu beliau bersama ketua-ketua Pemuda UMNO Bahagian Selangor mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Pengerusi Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya di Ara Damansara, Petaling Jaya, semalam.
Kunjungan hormat itu bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak PR1MA untuk merungkai permasalahan berkaitan isu pemilikan rumah pertama khususnya bagi anak-anak muda.
Turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri; Mohd Alfie Zainal Abidin (Subang); A’zlan Abu Bakar (Petaling Jaya); Zulkifli Rajalie (Ampang); Shah Zanuriman Nuar Paras Khan (Selayang); Ahmad Yani Ahmad Aziz (Bangi); Mohamad Syahir Yusof (Hulu Langat); Mohd Hydier Abdul Hamid (Sepang) dan Ir. Mohd Izwan Mohd Noor (Sg. Buloh).

Tambahnya, kerajaan negeri tidak perlu mempertonton pelan-pelan tindakan yang bersifat retorik kosmetik dan hanya cantik di atas kertas pembentangan sahaja khususnya dalam kebanyakan jelajah yang sedang diadakan ketika ini.

“Ini bukan isu politik ataupun isu perkauman, tetapi ianya adalah isu ‘fundamental’ rakyat khususnya keperluan anak muda kini yang perlu diambil berat oleh mana-mana kerajaan yang mentadbir,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast