Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan perutusan sambutan Ma’al Hijrah 1444H/2011M.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sikap toleransi atau berlapang dada, bukan hanya membolehkan kita terus membangun sehingga dihormati, tetapi ia juga dapat mengelakkan daripada perbalahan yang sia-sia dan merugikan.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menjaga keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia dengan mengamalkan konsep ‘Tasamuh’ atau toleransi yang dituntut dalam Islam yang sangat bersifat universal.

Semangat Tasamuh ini telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW, semasa membangunkan kota suci Madinah di mana golongan Ansar dan Muhajirin menzahirkan sifat toleransi yang melahirkan masyarakat berkasih sayang.

”Semangat Tasamuh ini telah diterjemahkan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat ketika sebulat suara meluluskan Rang Undang Undang Perlembagaan Berkenaan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, pada 28 Julai yang lalu apabila sanggup mengetepikan perbezaan fahaman politik demi Keluarga Malaysia,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Ma’al Hijrah 1444H/2011M.

Pada tahun ini, Ma’al Hijrah bertemakan Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran.

Menurut beliau, tema ini bersesuaian dengan latar kehidupan kita pada hari ini selepas lebih dua tahun berjuang memerangi krisis berkembar kesihatan dan ekonomi akibat Covid-19.

”Alhamdulillah, dengan semangat kebersamaan, kita berjaya berhijrah memasuki fasa peralihan ke endemik, yang mana fokus paling utama pada waktu ini adalah untuk kita sama-sama menjadi pemangkin kemakmuran kesihatan dan ekonomi demi Keluarga Malaysia,” tambahnya.

Ismail Sabri berkata, Ma’al Hijrah bukan sekadar menghayati penghijrahan Nabi Muhammad SAW, dari kota suci Mekah ke kota Madinah bagi menyebarkan syiar Islam, tetapi ia mempunyai pengertian yang lebih besar.

Jelasnya, cabaran pada hari ini sudah tentunya menuntut kecekalan dan ketahanan jiwa setiap daripada kita, sepertimana semangat pengorbanan kaum Muhajirin, yang sanggup meninggalkan harta dan kediaman.

Pada masa yang sama, semangat keterangkuman kaum Ansar juga perlu diteladani apabila berbesar hati menerima golongan Muhajirin yang berhijrah ke kota mereka, ujar Ismail Sabri.

Lantaran itu, beliau mengajak semua bertanggungjawab memastikan hubungan sesama anggota masyarakat berjalan atas prinsip keterangkuman, kebersamaan, dan kesyukuran sepertimana yang ditekankan dalam konsep Keluarga Malaysia.

Katanya, nilai-nilai ini amat penting untuk berhadapan dengan cabaran yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Elakksehingga menyebabkan kita terpaksa bergelut untuk menanganinya.

”Alhamdulillah atas usaha dan kebersamaan, impak daripada krisis yang dihadapi seluruh dunia pada hari ini dapat kita lalui biarpun kesannya tetap dirasai.

”Peristiwa Hijrah juga mengajar kita supaya bersedia untuk berdepan dengan sebarang cabaran atau kemungkinan. Dengan keadaan itu, kita dapat bersiap siaga sekiranya sebarang peristiwa buruk berlaku” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast