Ir. Izham Hashim

KUALA LUMPUR – Projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 dan Sistem Agihan dilaksanakan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mengalami kelewatan kemajuannya sebanyak 2.26 peratus setakat Mei lalu.

Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, berdasarkan maklumat PAAB, kemajuan keseluruhan projek sehingga Mei 2022 sebanyak 90.32 peratus.

“Jika mengikut kemajuan kerja sebenar adalah 92.58 peratus, iaitu berlaku kelewatan sebanyak 2.26 peratus,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.

Terdahulu beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang, Michelle Ng Mei Sze yang meminta Kerajaan Negeri Selangor menyatakan langkah-langkah yang sedang diambil untuk mempercepatkan pengaktifan LRA Langat 2.

Dalam pada itu, Izham memaklumkan, walaupun LRA Langat 2 telahpun siap dan diaktifkan bermula Disember 2019, namun sistem agihannya masih dalam proses pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2023.

“LRA Langat 2 mempunyai kapasiti reka bentuk pengeluaran air terawat sebanyak 1,130 juta liter sehari (JLH) telahpun siap dan diaktifkan bermula pada Disember 2019.

“Bagaimanapun, sistem agihan bagi LRA Langat 2 yang merangkumi Koridor Barat dan Koridor Utara masih lagi dalam peringkat pembinaan dan hanya akan siap sepenuhnya pada akhir 2023,” jelasnya.

Menurutnya lagi, bagi memastikan air terawat daripada LRA Langat 2 ini disalurkan kepada pengguna, PAAB telah membuat penyambungan daripada Kolam Imbangan Baru LRA Langat 2 di Bukit Enggang kepada Kolam Imbangan LRA Langat 1 sedia ada.

“Seterusnya, pihak Air Selangor juga telah melaksanakan dua lagi kerja-kerja penyambungan paip di bahagian hiliran bagi meluaskan sistem agihan kepada lebih banyak kawasan.

“Pada masa ini, Air Selangor telah dapat mengagihkan air terawat yang dikeluarkan dari LRA Langat 2 menggunakan sistem agihan sedia ada sehingga 400 JLH,” katanya. – MalaysiaGazette