Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada pembukaan Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 31 JULAI 2022.

SHAH ALAM – Dalam tempoh 10 tahun selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Selangor pada 2008, perkembangan ekonominya berjalan sangat perlahan berbanding negeri-negeri lain.

Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu bukan tuduhan semata-mata, bahkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Rekod prestasi PH tidak begitu memberangsangkan, saya tak tipu, ini data rasmi daripada DOSM, menunjukkan kadar pertumbuhan ekonomi di Selangor bawah kerajaan negeri sekarang ini lebih perlahan daripada negeri-negeri lain.

“KDNK Selangor berkembang hanya 88.7 peratus, KDNK negeri-negeri lain berkembang lebih pesat, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkembang 148.5 peratus; serta Perak berkembang 108.6 peratus.

“KDNK Pahang, Melaka dan Labuan juga naik dalam 10 tahun, masing-masing 105.8 peratus, 107.5 peratus serta dan 137.6 peratus,” katanya berucap dalam Konvensyen BN Selangor, di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, di sini, hari ini.

Tambahnya, kelembapan pertumbuhan ekonomi itu berpunca daripada tiadanya kerjasama yang erat dan koordinasi strategik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Masih bertelagah dan belum capai kata putus tentang projek-projek kritikal seperti Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PAMPS), termasuk Langat 2.

“Walaupun kita ada niat yang baik untuk kepentingan rakyat Selangor, tapi kerajaan negeri pimpinan PH sangsi, tak mahu memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette