Ahmad Zahid ketika berucap pada Konvensyen Puteri BN hari ini.

KUALA LUMPUR – Melupakan perbezaan politik merupakan formula baharu dalam mencari kestabilan politik di negara ini selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua pihak perlu buta warna politik selepas PRU15 demi mengecapi semula kestabilan untuk kepentingan rakyat.

“Kaedah untuk mewujudkan kestabilan politik di negara ini selepas PRU-15 kita hendaklah mencari formula baru lupakan perbezaan politik dalam kalangan kita

“Lupakan perbezaan kaum dalam kalangan kita, perbezaan budaya dalam kalangan kita demi negara.

“Kita mesti buta warna politik untuk menentukan kestabilan politik negara dijalin semula untuk keamanan dan untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Konvensyen Puteri Barisan Nasional yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, situasi yang berlaku ketika ini tidak sama seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Jelasnya, sebelum PRU14 sebaik terbubar Parlimen dan Dewan Udangan Negeri (DUN), pemimpin parti komponen BN akan berjumpa dan berbicang kerana mereka memiliki ‘warna yang sama’.

“Sebab tidak ada warna yang berbeza dalam kalangan kita. Kerana dahulu bubar sahaja Parlimen dan Dewan Undangan Negeri barulah sibuk mengadakan perjumpaan-perjumpaan dalam kalangan parti komponen BN.

“Tidak di zaman kita empat tahun lalu kita kalah, kita akui kekalahan. Kita bina UMNO, kita bina BN. Kita ajak kawan-kawan Friend of BN. Insya-Allah kemenangan akan memihak kepada kita kalau kita bersungguh-sungguh,” katanya.

Dalam sidang media kemudian, ketika ditanya mengenai formula kestabilan politik yang dinyatakan itu, Ahmad Zahid berkata, formula tersebut hanya boleh dilakukan selepas PRU15.

Katanya, formula tersebut tidak dapat dicapai pada waktu ini kerana semua pihak akan mendakwa bahawa parti mereka kukuh dan diterima rakyat.

“Politik sangat dinamik tetapi lebih baik jika usaha-usaha untuk menterjemahkan kedinamikan itu dilakukan selepas pilihan raya.

“Kalau kita lakukan sekarang masing-masing katakan diri mereka kuat walaupun sebenarnya kita tidak tahu tenaga batin politiknya telah berkurangan.

“Oleh sebab itu buktikan, UMNO dan BN akan membuktikan dalam PRU akan datang, selepas itu kita akan cari formula,” katanya. – MalaysiaGazette