Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Rang Undang-undang (RRU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 hanya terpakai kepada golongan yang lahir selepas 1 Januari 2007.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, peruntukan RUU ini tidak terpakai kepada individu yang berusia 18 tahun ke atas.

“Kita tak kacau rokoklah sampai bila-bila rokoklah sampai mati kita tak kacau, ini hanyalah untuk generasi yang baharu.

“Perlindungan kepada generasi yang baharu. Bagi mereka yang sedang merokok, merokoklah.

“Tak ada apa-apa yang boleh kita buat melainkan larangan di tempat-tempat tertentu dan sebagainya, tapi ini adalah untuk generasi baharu,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang tersebut untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy berkata peruntukan ini termaktub untuk Golongan GEG (Generational End Game (GEG) yang melarang sebarang benrtuk penggunaan produk merokok dalam kumpulan tersebut bertujuan melindungi generasi ini sepanjang hayat.

Jelasnya, penetapan 1 Januari 2007 dan seterusnya itu berbanding keputusan  Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu generasi yang lahir pada 1 Januari 2005 dan seterusnya.

Pelaksanaan ini bagi membolehkan kerajaan mempunyai tempoh yang mencukupi untuk memastikan transisi yang lancar dan teratur dalam kawal selia produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau.

“Peruntukan larangan terhadap pemilikan produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau kepada individu yang lahir pada 1 Januari 2007 akan dilaksanakan secara berperingkat dengan menggunakan pendekatan soft landing bagi memberi penekanan kepada aspek pendidikan dan kesedaran tentang bahaya merokok kepada Golongan GEG,” jelas Khairy lagi.

RUU ini merangkumi 12 bahagian dan 55 fasal antaranya pendaftaran dan pembatalan pendaftaran apa-apa produk tembakau, larangan apa-apa pengiklanan, promosi dan tajaan produk tembakau, bahan merokok, kawalan penjualan apa-apa produk tembakau, kawalan harga, pembungkusan, pelabelan, pengilangan dan pengimportan atau pengedaran apa-apa produk tembakau.

RUU ini antara lain memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya, merokok, membeli atau memilik produk tembakau atau peranti.

Individu dalam kumpulan berkenaan, yang merokok produk tembakau atau produk pengganti tembakau, menggunakan peranti merokok atau memiliki produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok boleh didenda tidak melebihi RM5,000, jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast