PETALING JAYA: Kertas siasatan membabitkan kes penipuan pakej haji furadah haji selepas kira-kira 380 orang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, siasatan membabitkan lima suspek, termasuk pemilik syarikat agensi pelancongan serta isterinya, yang ditahan polis sebelum ini selesai dijalankan.
“Kertas siasatan (tipu pakej haji) akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur untuk mendapatkan keputusan atas cadangan kita (pendakwaan di mahkamah),” kata beliau ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.
Lima individu kes tipu bakal jemaah haji direman di Johor
Lima suspek didakwa tipu jemaah haji diserahkan kepada polis KL
Sebanyak 121 laporan polis berkaitan penipuan pakej haji melibatkan tiga agensi pelancongan yang mengakibatkan kerugian hampir RM5.17 juta di seluruh negara diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Daripada jumlah itu, sebanyak 22 kertas siasatan dibuka PDRM.
Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kes penipuan tertinggi iaitu sebanyak 48 laporan disusuli di Selangor (30 laporan), Pahang (18 laporan) dan masing-masing enam laporan diterima polis di Johor, Perak dan Kelantan.
Manakala di Kedah pula, sebanyak tiga laporan diterima sementara dua laporan polis diterima di Negeri Sembilan dan masing-masing satu laporan polis direkodkan di Terengganu dan Pulau Pinang.
Jumlah kerugian paling tinggi direkodkan dalam kes penipuan pakej haji itu membabitkan Kuala Lumpur iaitu sebanyak RM2.07 juta diikuti Pahang (RM1.2 juta) dan Selangor (RM956,300)
Kelantan pula merekodkan jumlah kerugian sebanyak RM280,000 diikuti Perak (RM203,000); Negeri Sembilan (RM170,500); Johor (RM125,000); Kedah (RM48,000); Terengganu (RM38,000) dan Pulau Pinang (RM32,000). – MalaysiaGazette