Azmi Abu Kassim

KUALA LUMPUR – Lima individu termasuk seorang pemilik agensi pelancongan dan isterinya yang disyaki terlibat dalam kes penipuan pakej haji yang diserahkan Polis Kontinjen Selangor untuk membantu siasatan akan diserahkan semula kepada Polis Kontijen Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim yang mengesahkan perkara itu berkata, semua suspek akan dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut petang ini.

“Malah, permohonan reman terhadap kelima-lima suspek itu akan dibuat pagi esok (Khamis),” katanya ketika dihubungi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tipu jemaah haji: 5 individu termasuk pemilik agensi pelancongan direman

Jemaah haji terkandas: Pemilik agensi pelancongan antara 5 diberkas polis

72 laporan tipu pakej haji

Lima individu terlibat kes tipu jemaah haji disambung reman

Minggu lalu, media melaporkan 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menggunakan visa furada.

Visa furada adalah visa yang diuruskan sendiri dan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Tabung Haji.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah dalam satu kenyataan minggu lalu telah mengesahkan bahawa, dua lelaki dan tiga wanita itu ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi di sekitar ibu negara pada 8 Julai lalu.

Katanya, lima individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota, Setapak. – MalaysiaGazette