Timbalan Ketua Polis Selangor Deputi Komisioner Datuk S. Sasikala Devi . Foto AFFAN FAUZI, 13 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Lima individu termasuk seorang wanita yang ditahan berkaitan isu 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lalu disambung reman hari ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, mereka disambung reman selama sehari lagi.

“Kesemua mereka sepatutnya tamat tempoh reman pertama pada hari ini. Selepas dirujuk ke mahkamah hari ini, mereka disambung reman selama sehari lagi sehingga esok (13 Julai 2022) untuk membantu siasatan lanjut, ” katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tipu jemaah haji: 5 individu termasuk pemilik agensi pelancongan direman

Jemaah haji terkandas: Pemilik agensi pelancongan antara 5 diberkas polis

Dalam perkara berkaitan tambah Sasikala, pihaknya kini dalam proses sedang melengkapkan kertas siasatan kes tersebut.

“Kertas siasatan itu apabila dilengkapkan nanti akan dirujuk kepada pihak atasan (Timbalan Pendakwa Raya) untuk arahan lanjut,” ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya sedang menunggu arahan daripada Bukit Aman sekiranya terdapat keperluan untuk melanjutkan perintah reman yang akan tamat esok.

“Siasatan dilakukan di beberapa kontinjen termasuk Selangor. Jika ada arahan untuk sambung reman atau serahkan suspek pada kontijen lain, kita akan buat.

“Buat masa ini, kita sedang melengkapkan kertas siasatan dan mengumpul bukti-bukti,” ujarnya.

Minggu lalu, polis membuat tangkapan ke atas lima suspek berkenaan termasuk seorang pemilik sebuah agensi pelancongan dalam beberapa siri serbuan di sekitar ibu negara.

Pemilik agensi berkenaan serta isteri bersama tiga kakitangan lain diberkas di pejabat agensi pelancongan itu yang terletak di Danau Kota, Setapak.

Kemudian, kesemua suspek direman selama tiga hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula 10 Julai hingga hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast