KUALA LUMPUR – Sehingga hari ini sebanyak 72 laporan diterima oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada bakal jemaah haji yang tertipu dengan agensi pelancongan dan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada minggu lalu.

Kesemua laporan polis itu membabitkan jumlah kerugian berjumlah RM3.950 juta membabitkan tiga agensi pelancongan swasta.

Kesemua kes yang diterima daripada 10 negeri sedang disiasat, kata Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin.

“Berdasarkan 72 laporan yang diterima, pihak polis telah membuka 13 kertas siasatan dan sedang meneruskan siasatan dalam kes ini.

“Kita merekodkan jumlah laporan tertinggi di ibu negara iaitu sebanyak 24 laporan membabitkan nilai kerugian berjumlah RM1,244,500 disusuli Selangor merekodkan 14 laporan polis (kerugian RM404,000) penipuan membabitkan agensi pelancongan.

“Pahang merekodkan 13 laporan polis daripada bakal jemaah haji yang tertipu membabikan nilai kerugian tertinggi berbanding sembilan negeri yang lain denganjumlah  RM1,611,500,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Selain Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang, negeri Kelantan, Johor dan Perak masing-masing merekodkan lima laporan polis penipuan oleh agensi pelancongan membabitkan kerugian masing-masing RM209,000, RM176,000 dan RM171,000.

ARTIKEL BERKAITAN:Jemaah haji terkandas: Polis terima 57 laporan, kerugian RM2.3 juta

Jemaah haji terkandas: Pemilik agensi pelancongan antara 5 diberkas polis

Lima individu terlibat kes tipu jemaah haji disambung reman

Kedah pula melaporkan tiga laporan polis membabitkan kerugian sebanyak RM48,000, disusuli Terengganu (satu kes-kerugian RM38,000), Pulau Pinang (satu- RM32,000) dan Negeri Sembilan juga merekodkan satu laporan polis dengan kerugian RM16,000.

“Sebelum ini kesemua aduan yang diterima dan jumlah kerugian wang yang terlibat  membabitkan dua syarikat agensi pelancongan sahaja tetapi hari ini sebanyak tiga syarikat pelancongan sedang disiasat oleh PDRM berkaitan kes ini,” ujarnya lagi.

Dalam satu kenyataan awal pada Sabtu 9 Julai lalu, Noorsiah mendedahkan sebanyak dua syarikat pelancongan swasta yang disyaki terlibat dalam penipuan haji disiasat dalam kes ini membabitkan sebanyak 57 laporan polis di seluruh negara.

Katanya, kesemua 57 laporan polis itu membabitkan kerugian wang berjumlah RM2.371 juta.

Pada minggu lalu, polis berjaya menahan lima orang individu termasuk pemilik sebuah agensi pelancongan dan isterinya yang disyaki terlibat dengan insiden hampir 400 bakal jemaah haji yang terkandas akibat masalah visa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Khamis lalu.

Kesemua suspek telah direman selama empat hari sehingga hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

Pagi tadi kesemua suspek telah disambung reman selama sehari lagi sehingga 13 Julai 2022 untuk melengkapkan siasatan polis.- MalaysiaGazette