Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR –  Dua penjawat awam dan sembilan pelajar sekolah antara 4,234 individu ditangkap kerana terpalit dengan pelbagai kesalahan berkaitan dadah termasuk menjadi tokan dan mengoperasikan pengkalan haram dadah.

Kesemua mereka ditahan dalam Ops Tapis Khas siri kelima yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN semua kontinjen negeri selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Julai yang lalu.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Ops Tapis Khas siri kelima kali ini dilakukan menerusi 201 pemeriksaan di sekatan jalan raya, stesen JPJ/Balai, hentian awam, ICQS/CIQS, Rumah Rehat dan Rawat Lebuh Raya, dan sempadan serta pengkalan haram.

“Operasi ini membabitkan kekuatan seramai 1,864 pegawai dan anggota daripada JSJN dan dibantu oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) iaitu seramai 107 orang serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seramai 153 orang.

“Sepanjang operasi ini dijalankan seramai 9,684 orang telah ditahan dan diperiksa. daripada jumlah tersebut seramai 4,243 orang berusia 14 hingga 70 tahun telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah.

“Dalam operasi sama, seramai 426 orang tokan termasuk dua penjawat awam dan 30 warga asing dicekup.

“Kita turut menahan seramai 2,077 penagih termasuk 60 warga asing, 14 penjawat awam dan sembilan pelajar sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Noorsiah, Ops Tapis Khas Siri Ke-5 kali ini bertujuan mengesan dan menangkap tokan-tokan dadah, memusnahkan sarang penagihan dadah; mengambil tindakan ke atas penagih-penagih tegar; mengesan dan menangkap orang dikehendaki atas kesalahan dadah; mengambil tindakan pencegahan ke atas pengedar dadah yang telah dikenal pasti dan mengambil tindakan ke atas pemandu kenderaan berat yang dikesan bersangkut dadah.

Tambah beliau, pihaknya turut memberkas seramai 196 orang dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah dalam operasi berkenaan dan seramai 1,544 orang untuk kesalahan-kesalahan lain berkaitan kes dadah termasuk 21 orang warga asing dan lapan penjawat awam.

Katanya, dalam operasi tiga hari itu sebanyak 99.03 kilogram (kg) dan 508 liter pelbagai jenis dadah serta senjata api iaitu tiga laras senapang, sepucuk pistol dan 30 butir peluru yang dianggarkan bernilai RM607,878.91 berjaya dirampas.

“Jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 53,317 orang penagih dadah, ” katanya lagi.

Jelas Noorsiah, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan harta) 1988 yang mana JSJN telah menyita pelbagai aset bernilai RM811,608 termasuk barang kemas, jam tangan mewah, wang tunai serta kenderaan mewah dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta adalah berjumlah RM1.4 juta.

Kesemua suspek berkenaan ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 6, Seksyen 6B, Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a), Seksyen 39A(1), 39A(2) dan 39(c), 39B, 39C Akta dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, tegas Noorsiah, sepanjang Op Tapis Khas 1 hingga 5 yang dijalankan bermula Januari hingga Julai 2022, seramai 20,561 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah.

“Hasilnya, sejumlah dua tan dan 2,530.32 liter pelbagai jenis dadah yang bernilai sebanyak RM15,028,789.31 telah berjaya dirampas,” katanya.

PDRM  akan terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah sambil meraih kerjasama masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka melalui hotline JSJN di talian 012-208 7222.- MalaysiaGazette