Hajiji Noor

KUALA LUMPUR – Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memindahkan sembilan anggotanya yang baru-baru ini didakwa terlibat dengan kes peras ugut seorang ahli perniagaan ke Sabah dikesali oleh kerajaan negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor melahirkan rasa kecewa dengan keputusan itu yang padanya sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu dengan kerajaan negeri sebelum ia dilaksanakan.

Jelasnya, kerajaan negeri memandang serius dan mengambil perhatian terhadap anggota polis bermasalah yang dipindahkan.

“Polis sepatutnya memaklumkan dan berbincang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri sebelum tindakan itu dilaksanakan.

“Saya pandang serius, saya maklum ini mungkin satu prosedur atau tindakan disiplin yang diambil jabatan berkenaan terhadap anggota mereka,” katanya ringkas.

Untuk makluman, Hajiji sedang menunaikan umrah ketika ini akan mendapat penjelasan lanjut dari PDRM berhubung perkara selepas pulang kelak.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Selangor, S. Sasikala Devi dilaporkan berkata, sembilan anggota yang disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak berhubung pemilikan dadah baru-baru ini kini ditempatkan bertugas di Sabah dan Sarawak.

Dilaporkan, anggota berpangkat konstabel hingga sub inspektor itu daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik telah ditahan pada Jumaat dan siasatan masih lagi berjalan.

Selain daripada Hajiji, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis juga tidak bersetuju dengan tindakan polis menukar anggota terbabit ke negeri berkenaan.

Kata beliau, Sabah bukanlah ‘tong sampah’ untuk menerima pegawai bermasalah dalam PDRM.

“Tolonglah kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak bukannya tong sampah. Sudahlah kami begitu tertinggal dari segi infrastruktur, takkanlah dari segi perkhidmatan pun kamu kasi kami orang yang bermasalah,” tegasnya. – MalaysiaGazette