Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Konvokesyen Khas USIM 2024 di WTC, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 04 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Malaysia boleh mencapai cita-cita negara Madani sekiranya dapat memanfaatkan beberapa usul Sheikh Al Azhar Al Syarif, Imam Besar Al-Azhar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Al Imam Al Akbar Sheikh Prof. Dr. Mohammad Ahmad Tayyib menasihatkan umat Islam di negara ini  mengambil langkah positif dan lebih berani menyantuni masyarakat bukan Islam dan di rantau Asia.

“Beliau antara lain menggesa saya untuk bekerja lebih kuat dan bersungguh-bersungguh menghimpunkan kekuatan umat dan mempastikan ada sikap yang lebih lunak dan berbaik sangka hormat menghormati, litaarafu (berkenal-kenalan) dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam dalam negara,” katanya dalam ucapan merasmikan Konvokesyen Khas Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama adalah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Anwar berkata demikian setelah menyaksikan majlis penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah kepada Sheikh Al Azhar.

Penganugerahan itu disempurnakan Pro Canselor USIM, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Sheikh Al Azhar ada menyebut kepincangan yang berlaku akibat dari serangan dan asakan pemikiran Barat yang mempamerkan sifat liberal dan ideologi yang menyimpang daripada ajaran Islam.

“Sheikh Al Azhar juga mengingatkan kita bahaya sikap pelampau taksub yang menyebabkan perpecahan. Kita harapkan universiti utama seperti Universiti Al Azhar dengan rangkaian sistem pendidikan yang ada dalam negara dapat meneruskan usaha mempertahanan umat utama melalui gedung-gedung ilmu,” katanya.

Semalam, Anwar mengadakan pertemuan dengan Sheikh Al Azhar yang mengadakan lawatan ke Malaysia sebagai penghormatan besar kepada negara kerana menerima kunjungan seorang tokoh dan imam besar yang dihormati dan dimuliakan oleh dunia Islam.

Beliau berkata, Sheikh Al-Azhar, kini dalam rangka lawatan empat hari ke Malaysia hingga Jumaat, dikenali sebagai ketua ilmu yang telah memberikan sumbangan besar kepada dunia Islam sejak sekian lama.

Lawatan khas Sheikh Al-Azhar yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir merupakan detik bersejarah dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Arab Mesir selain membuktikan pertalian erat dan kerjasama rapat antara kedua-dua negara dalam usaha membangunkan umat Islam yang progresif serta dinamik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.