Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya melumpuhkan aktiviti rokok seludup bernilai RM9.5 juta selepas merampasnya dalam serbuan di Kulaijaya baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya melumpuhkan aktiviti rokok seludup bernilai RM9.5 juta selepas merampasnya dalam serbuan di Kulaijaya baru-baru ini.

Rampasan itu juga merupakan kejayaan terbesar tahun ini, kata Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad.

Menurutnya, serbuan pada pukul 2.30 petang 23 Julai itu adalah hasil intipan selama dua bulan dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Johor ke atas premis yang turut dijadikan stor penyimpanan rokok seludup itu.

Beliau berkata, serbuan itu hasil risikan ke atas premis yang mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan kita merampas 8,017,600 batang rokok yang disembunyikan dalam bungkusan ditutup dengan kanvas. Modus operandi penyeludupan ini adalah dengan menyembunyikan rokok seludup di dalam gudang sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan termasuk Johor,” katanya di Menara JKDM Johor di sini hari ini.

Nilai rokok dianggarkan RM3.8 juta dan duti serta cukai terbabit adalah dianggarkan RM5.7 dengan nilai keseluruhan termasuk cukai bernilai RM9.5 juta.

“Rokok putih dan kretek itu dipercayai diseludup masuk dari Indonesia menerusi laluan laut disebbakan sebahagian rokok itu dalam keadaan basah dipercayai terkena air ketika dibawa masuk ke negara ini dengan bot,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan apa-apa barang tidak berkastam yang jika disabit kesalahan.

“Kesalahan ini boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam kes berasingan,  Sazali berkata, JKDM  juga merampas 3,840 botol minuman keras yang bersamaan 1,790.40 liter dipercayai tidak berkastam disembunyikan di bahagian belakang kenderaan pada 6.45 pagi pada 22 Julai lalu.

Rampasan dilakukan di Kilometer 2.7, Jalan Sultan Ismail, Lebuhraya Pesisir Pantai Iskandar, Iskandar Puteri.

“Hasil pemeriksaan atas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima Areas kita turut menemukan minuman keras di bahagian belakang kerusi pemandu.

“Rampasan berkenaan bernilai RM10,700 dan jumlah duti dan cukai terbabit adalah RM37,300 atau nilai keseluruhan dagangan disita termasuk cukai dan kenderaan dianggarkan RM88,100,” katanya.

Jelasnya pemandu kenderaan ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen kelulusan seperti inbois, borang kastam atau permit import.

Kes disiasat mengikut Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976 dan jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan bagi kesalahan pertama, denda tidak kurang sepuluh kali amaun duti eksais atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali amaun duti eksais.

Selain itu pesalah juga boleh dikenakan denda RM500,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar atau penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan atau tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.- MalaysiaGazette