CUEPACS Melayu gaji Adnan Mat
Adnan Mat

PUTRAJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendesak kerajaan agar mencampur tangan insiden yang melibatkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dengan pegawai kanan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata, sewajarnya sebagai seorang pegawai tertinggi kerajaan, Mohd Shafiq seharusnya menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada pegawai bawahan.

“Adalah amat malang jika seseorang pegawai tertinggi dalam kerajaan memerlukan layanan bertaraf VVIP sedangkan beliau harus menyantuni pegawai kita dengan bijaksana, memahami tugasan mereka di lapangan dan bukannya memalukan pegawai tersebut di depan khalayak ramai seperti yang didakwa oleh pihak kesatuan kakitangan imigresen.

“Dengan mengambil prinsip sebagai sebuah Keluarga Malaysia seperti yang dilaungkan oleh perdana menteri seolah-olah tidak dihayati dan diamalkan oleh pegawai tertinggi kerajaan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, perbuatan itu boleh menjejaskan imej pegawai perkhidmatan awam di mata rakyat.

Menurut Adnan, pada masa lalu sebuah kerajaan negeri pernah mengambil tindakan yang kurang wajar dengan memberikan penyapu kepada penjawat awam dalam satu majlis yang akhirnya menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

“Kita tidak mahu pegawai yang tidak dapat menghayati falsafah dan mengamalkan semangat Keluarga Malaysia berada dalam perkhidmatan awam.

“CUEPACS amat berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dapat mengambil tindakan segera demi menjaga kebajikan kakitangan awam serta mengekalkan keharmonian dalam kalangan penjawat awam.

“Justeru kami juga mendesak KPPA agar segera tampil memohon maaf atas perbuatan itu.

“Langkah segera ini penting untuk memastikan penjawat awam dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara secara berkesan tanpa mengira kedudukan dan latar belakang mereka,” ujarnya.

Jabatan Perkhidmatan Awam dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan Mohd Shafiq Abdullah menengking pegawai Jabatan Imigresen di KLIA adalah tidak berasas dan berniat jahat untuk menjatuhkan imej beliau sebagai pegawai tinggi kerajaan.

Menurut JPA, teguran tersebut juga tidak dibuat di khalayak ramai seperti didakwa, sebaliknya KPPA hanya menasihatkan pegawai terbabit supaya mematuhi peraturan dan membantu menyelesaikan isu sedemikian secara berhemah.

“Beliau juga mengesyorkan supaya perlunya pihak Imigresen di KLIA meningkatkan pematuhan prosedur operasi (SOP) bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan Imigresen,” katanya.

Merujuk kepada kenyataan tular di media sosial berhubung tuduhan kononnya KPPA mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai Imigresen di KLIA, JPA memandang serius perkara itu dan menyatakan kekesalannya terhadap kenyataan palsu pihak tidak bertanggungjawab terbabit. – MalaysiaGazette