SHAH ALAM – Polis mengesahkan kontraktor serta dua pekerja pengubahsuaian rumah bekas pembaca berita, Zalina Shaharah Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu tidak mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati kerja pengubahsuaian rumah Zalina dilakukan sebelum kehilangannya.
“Polis telah menjalankan siasatan berdasarkan keterangan yang telah diambil daripada kontraktor dan dua pekerja yang terlibat dalam pengubahsuaian rumah milik bekas pembaca berita itu.
“Namun, hasil siasatan mendapati kesemua mereka telah menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian rumah milik bekas personaliti itu pada 2019,” kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada petunjuk baharu kes kehilangan Zalina Azman
Pencarian diteruskan, wanita ditemui di Sentul bukan Zalina Azman
Ras Adiba minta kerjasama syarikat e-hailing cari Zalina Azman
Wanita mirip Zalina muncul di kafe adalah gelandangan – Polis
Pekerja ubah suai rumah Zalina dicari untuk bantu siasatan – Polis
Tambah beliau, kerja pengubahsuaian rumah Zalina diteruskan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
Menurut Mohd Iqbal, kerja ubahsuai rumah itu dijalankan secara berperingkat bermula dengan kerja pendawaian, studio, galeri dan tempat memasak.
“Zalina telah melakukan dua transaksi untuk kerja mengubahsuai rumah iaitu dengan pembayaran sebanyak RM260,000 dan kali terakhir pembayaran dibuat pada Ogos tahun lalu.
“Justeru, polis telah mengambil keterangan daripada 20 individu sejak kehilangan Zalina dan menggeledah rumah Zalina sebanyak tiga kali bagi memastikan tidak tertinggal sebarang bukti dengan harapan mendapat petunjuk baharu yang masih buntu.
“Satu komputer riba dan beberapa dokumen telah dirampas dari rumahnya pada 28 Julai lalu untuk dianalisa selain pemeriksaan menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) dan usaha pencarian masih diteruskan polis,” ujarnya. – MalaysiaGazette