Sasikala Devi

SHAH ALAM – Siasatan kehilangan bekas pembaca berita TV3, Zalina Shaharah Azman sejak 24 November lalu merangkumi semua aspek.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi Subramaniam berkata, setakat ini tiada petunjuk baharu dalam siasatan kes itu.

“Berkaitan kerja pengubahsuaian rumah Zalina, ia sudah lama dijalankan, jadi mungkin agak sukar kita nak kesan pekerja-pekerja yang menjalankan pengubahsuaian berkenaan yang masih belum dapat memastikan kerakyatan mereka.

“Namun, kami harap pekerja-pekerja berkenaan dapat tampil membantu kami memberikan maklumat yang ada untuk melicinkan siasatan dalam kes kehilangan Zalina.

“Setakat ini status masih sama, kita tiada petunjuk baharu, Kertas Enkuiri Polis (KEP) akan kita diteruskan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Pada Isnin lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam mengeluarkan hebahan mengenai kehilangan Zalina.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, laporan berkaitan kehilangan wanita itu dibuat anak mangsa yang mendakwa gagal menghubungi ibunya sejak 24 November lalu untuk memaklumkan datuknya dimasukkan di hospital untuk rawatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast