Seorang wanita yang ditemui mirip Zalina Shaharah Azman sebelum disahkan di JPN wanita itu bukan personaliti yang hilang sejak November tahun lalu. Foto: IPD Shah Alam

SHAH ALAM – Polis meneruskan pencarian Zalina Shaharah Azman selepas penemuan terkini seorang wanita yang wajahnya mirip bekas pembaca berita TV3 tersebut semalam.

Malangnya, semakan cap jari dan identiti wanita itu dengan Jabatan Pendaftaran Negara disahkan bukan Zalina Shaharah yang hilang sejak 24 November lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang mendakwa melihat seorang wanita mirip wajah Zalina Shaharah di sekitar Jalan Haji Salleh, Sentul, Kuala Lumpur, kira-kira jam 6 petang semalam.

“Bertindak atas maklumat awam itu Polis Shah Alam telah bergegas ke lokasi itu sebelum menemui dan membawa wanita yang didakwa mirip Zalina ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Shah Alam untuk pengecaman dan pengesahan identiti.

“Namun, hasil semakan identiti melalui cap jari di JPN ke atas wanita itu mendapati wanita tersebut bukanlah Orang Hilang (OH) iaitu Zalina yang kita sedang mencari.

“Pengecaman oleh ahli keluarga OH juga didapati negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seorang wanita yang ditemui mirip Zalina Shaharah Azman sebelum disahkan di JPN wanita itu bukan personaliti yang hilang sejak November tahun lalu. Foto: IPD Shah Alam

Pada 19 Julai lalu, Zalina Shaharah yang hilang sejak November tahun lalu masih tidak dijumpai walaupun usaha mencari telah dilakukan oleh anak serta polis.

Zalina, 58, dilaporkan hilang ketika anaknya, Mikhael Norman cuba menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan tidak dapat dihubungi langsung.

Sebelum ini, Mohd Iqbal berkata, hasil semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) pihaknya percaya Zalina Shaharah masih berada dalam negara. – MalaysiaGazette