KUANTAN – Mayat mangsa lemas yang dihanyutkan arus deras ketika memancing di loji Empangan Semantan dekat Karak pada Selasa lalu ditemui jam 10.28 pagi hari ini.
Mangsa, Amiruddin Asyraf Mat Saman, 26, ditemui pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi kejadian dia dihanyutkan.
Amiruddin merupakan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dilaporkan hilang semasa memancing pada pukul 6 petang pada 2 Ogos lalu.
“Mayat mangsa ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Pahang dengan bantuan anjing K9 dengan gelaran Frankie pada Khamus semasa operasi pencarian hari kedua.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai seramai 55 anggota pelbagai agensi.” kata Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria ketika dihubungi.
Jenazah mangsa akan dihantar ke Hospital Bentong serta dijangka dikebumikan di Chenor, Pahang sejurus selesai proses bedah siasat.
Difahamkan semasa mangsa sedang memancing bersama sahabatnya di Bentong, tiba-tiba aras air loji naik dan mengalir deras.
Kedua-dua mangsa cuba menyelamatkan diri dengan memanjat ke atas batu yang lebih tinggi tetapi tidak berjaya dan terus dihanyutkan air deras.
Manakala rakan mangsa berjaya berdiri di atas sebuah batu besar di tengah sungai sebelum diselamatkan oleh anggota bomba. – MalaysiaGazette