GEORGE TOWN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang menegaskan dakwaan rampasan haiwan yang dilakukan pihaknya di sebuah premis di Jelutong di sini, dilakukan mengikut peruntukan undang-undang.
Pengarah Perhilitan negeri, Noraini Nasaruddin berkata, serbuan pada 25 Mac lalu itu dilakukan bersama Pasukan Khas Polis Marin Wilayah Satu.
Jelas beliau, serbuan itu membawa kepada penemuan 208 hidupan liar yang gagal mematuhi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua hidupan liar tersebut dijual tanpa sebarang dokumen yang sah dari Jabatan Perhilitan dan jika disabitkan kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 60(1)(a) dan Seksyen 68(1)(a) akta sama.
“Berhubung dakwaan pemilik haiwan itu, suka saya jelaskan bahawa segala tindakan yang dilakukan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Noraini berkata, pihaknya juga telah mendapatkan perintah daripada Mahkamah Majistret Pulau Pinang untuk melakukan pelupusan ke atas rampasan terbabit.
“Bagi menjaga kebajikan haiwan dirampas dan pelupusan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan.
“Saya tidak boleh mengulas lebih dalam kes ini kerana ini masih dalam siasatan dan tindakan lanjut akan dibuat berdasarkan nasihat Penasihat Undang-Undang jabatan,” ujar beliau.
Tambah beliau, pihaknya akan terus melakukan pemantauan aktiviti penyeludupan dan penjualan hidupan liar secara haram di sekitar Pulau Pinang yang menjadi trend pada masa ini.
“Aktiviti seperti ini perlu dipandang serius kerana ia akan mengakibatkan kesan yang besar kepada ekosistem negara,” katanya.
Haiwan RM200,000 dirampas, pemilik tuntut penjelasan Perhilitan
MalaysiaGazette pada 30 Julai lalu melaporkan, seorang pemilik kedai haiwan meluahkan rasa kecewa Perhilitan Pulau Pinang yang didakwa gagal memberi maklum balas berhubung rampasan haiwan jualannya sejak empat bulan lalu.
Lim Khye Shyuan, 36, berkata, haiwan jualannya bersama perkakasan bernilai RM200,000 dirampas Perhilitan pada 25 Mac lalu atas alasan tidak mempunyai lesen untuk memiliki haiwan tersebut. – MalaysiaGazette