Khye Shyuan menunjukkan lesen perniagaan miliknya di premis lama yang sah lama sehingga tahun ini serta laporan polis bagi menuntut penjelasan daripada Perhilitan Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Seorang pemilik kedai haiwan meluahkan rasa kecewa terhadap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang yang didakwa gagal memberi maklum balas berhubung rampasan haiwan jualannya sejak empat bulan lalu.

Lim Khye Shyuan, 36, berkata, haiwan jualannya  bersama perkakasan bernilai RM200,000 dirampas Perhilitan pada 25 Mac lalu atas alasan tidak mempunyai lesen untuk memiliki haiwan tersebut.

Jelasnya, rampasan itu dilakukan ketika dia berada di Kuala Lumpur dan sebaik pulang, dia bertemu dengan pihak Perhilitan bagi memberikan penjelasan bahawa baru sahaja berpindah ke premis berkenaan dan lesen yang dimilikinya didaftarkan premis lama.

Khye Shyuan.

“Sudah empat bulan saya cuba mendapatkan penjelasan mengenai status kes serta haiwan yang dirampas namun tiada maklum balas diberikan sebaliknya setiap kali pertanyaan dilontarkan, pegawai penyiasat memberi hanya memberi jawapan siasatan masih dijalankan.

“Saya juga minta izin untuk melihat keadaan haiwan yang dirampas kerana berdepan situasi menanggung kerugian yang tinggi sekiranya apa-apa terjadi pada haiwan tersebut tetapi mereka enggan sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan mengenai keadaan haiwan terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Antara haiwan yang dirampas adalah pelbagai jenis kura-kura, ular, burung kakaktua, biawak, tarantula, iguana, labah-labah dan lain-lain.

Khye Shyuan buntu dilayan sebegitu oleh pihak Perhilitan hanya kerana tidak mengemaskini alamat baharu premis perniagaan yang terletak di Jelutong di sini.

“Bukan sahaja sengaja mahu melanggar peraturan ditetapkan, pemilik premis lama memberi notis singkat untuk kami pindah selepas pandemik Covid-19 menyebabkan saya terpaksa pindah ke premis lain.

Khye Shyuan menunjukkan kedainya kini kosong selepas haiwan serta perkakasan bernilai RM200,000 dirampas Perhilitan negeri sejak empat bulan lalu tiada sebarang maklum balas.

“Malah, saya juga dalam proses permohonan pertukaran alamat lesen tetapi tidak sangka diuji dengan keadaan sebegini tambahan pula, kami baru nak bangkit semula selepas pandemik.

“Bukan saja itu, sudah empat tahun saya menjalankan perniagaan ini dan tidak timbul isu langgar peraturan Perhilitan tetapi kini saya kecewa dilayan sebegini,” luahnya.

Dalam perkembangan sama, Khye Shyuan juga  telah membuat satu laporan polis di IPD Timur Laut pada 29 Jun lalu bagi menuntut penjelasan daripada Perhilitan negeri berhubung status siasatan kes serta haiwan yang dirampas.

“Sekurang-kurangnya beri saya penjelasan apa status haiwan yang dirampas,” katanya. – MalaysiaGazette