Md Amin (tengah) bersama para pengusaha kafetaria dan sebahagian mahasiswa semasa Majlis Pelancaran Menu Keluarga Malaysia di Pusat Pelajar, Kampus Sultan Azlan Shah, di Tanjung Malim.

TANJUNG MALIM – Hasil kerjasama dengan 23 pengusaha kafeteria kampus, secara rasmi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini melancarkan Menu Keluarga Malaysia dengan kadar RM3.50 mengikut kreativiti kafetaria masing-masing.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, inisiatif Menu Keluarga Malaysia adalah tanda sokongan kepada pelaksanaan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia bagi menyelaras, melaksana dasar dan memantau kawalan harga barang serta perkhidmatan serta membentuk jaringan kolaborasi dengan pihak berkepentingan secara holistik.

”Inisiatif ini disasarkan bagi memastikan lebih 14,000 pelajar golongan B40 di UPSI mempunyai pilihan makanan berkualiti pada harga yang rendah ketika seluruh negara mengalami kenaikan harga barang sejak akhir-akhir ini.

”Sebagai tanda penghargaan kepada pengusaha kafeteria, UPSI meluluskan moratorium sewaan ruang premis selama enam bulan kepada pengusaha kafeteria di sekitar kampus,” katanya.

Menurut beliau, UPSI bakal menerima kemasukan semula seramai 19,352 pelajar pada Oktober ini dan akan memastikan kos sara hidup siswa dari pelbagai aspek termasuklah makan minum dan pengangkutan pergi dan balik para pelajar daripada kediaman ke kampus terjamin.

Katanya, pihak pengurusan akan sentiasa memastikan kesejahteraan mahasiswa, supaya anak-anak ini dapat belajar dalam suasana yang kondusif dan fokus kepada pembelajaran tanpa memikirkan hal perbelanjaan makan dan minum seharian kerana Menu Keluarga Malaysia UPSI akan dikekalkan demi kelangsungan kehidupan pelajar.

Beliau berkata, mahasiswa seharusnya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pengusaha kafetaria atas pengorbanan mereka walaupun harga barangan keperluan di pasaran meningkat.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) , Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin berkata, antara menu yang disajikan adalah hidangan harian seperti nasi putih beserta lauk lengkap dengan minuman, nasi goreng, nasi lemak, mi goreng, roti canai, bihun sup dan banyak lagi bermula sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam.

Pada majlis sama, pemilik kafeteria JNJ Gemilang Resources, Junaida Jamaludin, 54, menerima Sijil Pengiktirafan Kafeteria Sihat Universiti Awam yang pertama di Malaysia yang dikeluarkan oleh Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut Junaida, antara kriteria utama yang ditikberatkan untuk pengiktirafan itu adalah pengendalian proses makanan serta penilaian kebersihan premis mencecah 86 peratus.

”Antara hidangan popular dan mendapat sambutan di kafe saya ialah lempeng kelapa kuah sardin beserta minuman teh-o panas , nasi goreng mak-mak, bihun sup dan nasi bujang sebagai pilihan,” katanya.

Sebelum Menu Keluarga Malaysia diperkenalkan, katanya, sebagai pengusaha makanan, Junaida menyediakan hidangan bajet untuk para mahasiswa yang berkunjung ke kafeteria bagi membantu kebajikan pelajar yang kurang kemampuan dan mampu
mengenyangkan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast