Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini memutuskan anak yang dilahirkan ibu warga Malaysia boleh dinafikan kerakyatan berdasarkan undang-undang.

Dalam satu keputusan berbelah bahagi dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Untuk makluman, Mahkamah Tinggi pada 2021 telah memutuskan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu dan bapa warganegara Malaysia secara automatik berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

Hari ini, keputusan majoriti dua-satu, Kamaludin membenarkan rayuan oleh tiga perayu iaitu kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran.

Hakim Kamaludin dan Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan majoriti manakala seorang lagi panel hakim, Datuk S. Nantha Balan memutuskan keputusan tidak bersetuju dan menolak permohonan rayuan kerajaan.

Menurut hakim, kerakyatan yang telah diberikan kepada anak-anak daripada enam ibu warga Malaysia itu akan kekal sementara menunggu rayuan mereka diputuskan di Mahkamah Persekutuan.

Responden dalam kes itu adalah enam ibu warganegara Malaysia dan kumpulan hak keluarga Family Frontiers.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir sebelum ini telah membenarkan anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang, beliau telah memutuskan bahawa perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1(b) mestilah dibaca termasuk ibu.

Beliau juga memutuskan Perkara 14(1)(b) bersama Seksyen 1(b) Perlembagaan Persekutuan mesti dibaca selaras dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang melarang diskriminasi berasaskan jantina.

Bagi kes pertama, kerajaan, KDN dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 September tahun lepas yang mengiktiraf anak kepada ibu warganegara Malaysia yang dilahirkan di luar negara mempunyai hak automatik menjadi rakyat Malaysia.

Bagi kes kedua, Mahisha Sulaiha yang dilahirkan oleh ibu rakyat Malaysia dan bapa warga India di India merayu terhadap penolakan Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos 2020 terhadap samannya yang difailkannya bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa dia berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tengok negara-negara kecil bekas jajahan British macam Qatar, UAE, dan Kuwait teramat disukai oleh warga pekerja asing tinggal lama sehingga cucu-cicit dikutip bayaran cukai demi memperkayakan pribumi mereka dan tidak seperti politikus Pak Pandir kemaruk undi baka warga pekerja asing timah dan getah yang menguntungkan ekonomi penjajah British sehingga majority besar undi expats memiliki Singapore dan Penang termasuk majority tanah rizab Melayu kini hanya 12% jer.

Comments are closed.