Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin Zainudin didesak mempercepatkan proses mendapatkan kelulusan daripada Majlis Raja-Raja berkaitan pindaan Perlembagaan membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu menjadi warganegara Malaysia.

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Hamzah telah memberikan satu komitmen tahun lepas di Parlimen untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan perkara itu.

Katanya, Hamzah memberikan komitmen untuk memasukkan perkataan “anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu yang berwarganegara Malaysia” dalam Bahagian II, Jadual Kedua, Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menggesa Menteri Dalam Negeri mengambil isu ini secara serius dan mempercepatkan proses untuk mendapatkan kelulusan dari Majlis Raja-Raja bagi membentangkan usul pindaan Perlembagaan Persekutuan di Parlimen.

“Saya juga menggesa semua ahli Parlimen untuk mendesak Kementerian Dalam Negeri dalam mempercepatkan proses mendapatkan kelulusan dari Majlis Raja-Raja kerana ini adalah soal hidup dan mati dan juga masa depan mereka.

“Hak kewarganegaraan adalah pintu kepada hak-hak lain sebagai seorang warganegara Malaysia,” kata Syed Saddiq dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan hari ini untuk membenarkan rayuan kerajaan Malaysia untuk tidak memberikan hak kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu yang berwarganegara Malaysia.

Dalam keputusan majoriti dua-satu, panel tiga orang yang dipengerusikan oleh hakim Kamaludin Md Said membenarkan rayuan oleh tiga perayu – kerajaan, menteri dalam negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran.

Keputusan majoriti dipersetujui oleh Hakim Kamaluddin dan Hakim Datuk Azizah Nawawi manakala Datuk S. Nantha Balan pula menentang.

“Walaubagaimanapun, saya akur dan hormat terhadap keputusan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada hari ini.

“Disebabkan keputusan pada hari ini, sebagai seorang ahli Parlimen kita mempunyai satu tanggungjawab untuk membela hak anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu yang berwarganegara Malaysia untuk mendapatkan hak kewarganegaraan yang sama rata seperti anak yang dilahirkan di luar negara oleh ayah yang berwarganegara Malaysia,” kata Syed Saddiq.

Sebelum ini, Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) dan enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dengan anak kelahiran luar negara, pada 9 September 2021, berjaya dalam tuntutan mereka di Mahkamah Tinggi terhadap ketiga-tiga perayu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anak lahir luar negara tak boleh warisi kerakyatan ibu – Mahkamah Rayuan

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast