TASEK GELUGOR – Pas bersedia sebarang kemungkinan berhubung hala tuju Muafakat Nasional (MN).
Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Pas sentiasa mempunyai langkah lain sekiranya UMNO tidak berminat menjalinkan persefahaman lagi menerusi MN.
“Isyarat yang kita peroleh daripada ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi pada Konvesyen Barisan Nasional (BN) Selangor baru-baru ini yang mana hala tuju MN akan ditentukan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan adu kekuatan parti masing-masing buat masa ini.
“Bagi kita isyarat itu jelas bahawa tiada permuafakatan antara BN, Perikatan Nasional (PN) serta Pas.
“Pas berusaha untuk menjalinkan persefahaman dengan UMNO tetapi kita juga bersedia untuk sebarang kemungkinan lain termasuk tiada sebarang rundingan bersama,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu Ahmad Fadhli merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang ke-42 di Pusat Pengajian Darul Hadis di sini.
Mengulas lanjut Ahmad Fadhli berkata, sekiranya ada persetujuan atau permuafakatan antara Pas, BN serta PN sudah tentu ia memberi tekanan hebat kepada Pakatan Harapan (PH).
“Kalau ada persetujuan lebih baik kerana ia akan memberi tekanan kepada PH dan kita yakin rakyat juga akan tonjolkan sokongan kepada kita,” katanya. – MalaysiaGazette