KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berikrar tidak akan sesekali berkompromi kepada mana-mana pihak termasuk ahli parti jika ada terlibat dengan perlakuan jenayah.
Ini termasuklah insiden berlaku pada petang semalam difahamkan dilakukan oleh seorang ahli parti menggunakan pisau.
Dalam satu audio suara yang turut dihantar kepada MalaysiaGazette, Vigneswaran melahirkan rasa kecewa serta sedih dengan insiden berkenaan.
Bagaimanapun kata beliau, dirinya tidak akan sesekali membelakangkan undang-undang malah selama ini parti MIC sentiasa tampil bukan sahaja berjuang isu komuniti sebaliknya sentiasa menghormati undang-undang negara.
“Saya tidak pasti apakah sebenarnya punca masalah ini (guna senjata pisau), saya juga tidak tahu jika benar senjata telah di gunakan bagi tujuan melindungi diri atau sebaliknya. Tetapi, ingat ya, mendatangkan kecederaan kepada orang lain adalah salah di sisi undang-undang.
“Jika semua sudah pandai ambil undang-undang di tangan sendiri, kita tidak ubah seperti sebuah cowboy town bukan begitu?
“Memang selama ini, apa sahaja yang berlaku, MIC terlebih dahulu akan dipersalahkan dalam apa jua perkara, tuding jari dan kami dalam parti ini terpaksa menanggung dan menerima semua tuduhan tersebut. Jadi kami sudah lali dengan isu seperti ini, pada kami kalau salah maknannya itu salah.
“Kita tidak akan ambil apa-apa tindakan pada individu buat laporan, jadi tidak perlulah buat viral kononnya MIC akan membela perbuatan salah. Jika benar ahli kita terlibat, biarlah pihak berkuasa dan ambil tindakan. Itu sahaja.
“Saya sendiri tidak akan berkompromi dengan isu seperti ini sejak dulu dan sehingga bila-bila. Saya bukan hakim dalam perkara ini, ini kesalahan jenayah dan kita ada undang-undang untuk tanganinya dengan adil,” tegasnya.
Tambah beliau, banyak sahaja kes jenayah termasuklah kes rogol, rasuah, penyewelengan dan banyak lagi di lakukan oleh ahli parti-parti tertentu.
“Kalau hendak sebut, banyak sekali. Tapi itu perbuatan jenayah individu, adakah kita akan tarik sekali parti dalam perkara itu? Yang pasti MIC tidak akan melakukan demikian.
“Jika salah, anda terima hukuman setimpal,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Lelaki toreh tangan mangsa guna pisau gara-gara laporan SPRM
MalaysiaGazette difahamkan seorang ahli MIC yang juga Pemuda MIC Titiwangsa bertindak menoreh tangan seorang lelaki menggunakan pisau sehingga mendatangkan kecederaan sedalam 3cm di Jalan Ipoh di sini petang semalam.
Mangsa telah dihantar ke hospital dan perlu menjalani pembedahan kecil manakala suspek pula telah ditahan polis lewat malam tadi di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Difahamkan kedua-dua mereka berselisih faham berhubung aduan penyewelengan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.- MalaysiaGazette