Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai . Foto FAREEZ FADZIL, 07 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Gara-gara tidak berpuas hati mengenai laporan berkaitan rasuah, seorang lelaki ditoreh menggunakan pisau di Batu 5, Jalan Ipoh di sini semalam.

Mangsa berusia 42 tahun ditoreh oleh seorang lelaki dikenalinya disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penyelewengan wang yang dibuat oleh mangsa ke atas suspek.

Semasa pertelingkahan di tempat kejadian, suspek telah bertindak menoreh tangan kiri mangsa dengan menggunakan sebilah pisau.

Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kesan luka sedalam tiga sentimeter dan perlu menjalani pembedahan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai dalam satu kenyataan hari ini berkata, bertindak atas siasatan, semalam pihaknya telah menangkap lelaki warga tempatan berumur 36 tahun yang terlibat dalam kes ini di perkarangan Ibupejabat Polis Daerah Sentul.

“Suspek yang ditangkap mempunyai tiga rekod pelbagai kesalahan jenayah lampau dan kes telah disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette