Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee merasmikan pada Majlis Perasmian Pelancaran Logo Smart SBB, dan Perasmian Aplikasi Rice Information Manegment System (RIMS) di MAEPS Serdang, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 07 OGOS 2022.

SERDANG – Industri padi beras negara disasar mampu menghasilkan 75 peratus keperluan negara menjelang tahun 2030 melalui penggunaan teknologi canggih.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, usaha-usaha yang sedang dibuat oleh MAFI ini bagi memastikan negara mampu mengeluarkan padi ke tahap sara diri yang diperlukan.

“Dengan langkah-langkah Smart Sawah Berskala Besar (SBB) dan penglibatan pihak swasta sebagai pihak peneraju dan aplikasi teknologi dan sistem pengurusan ladang kita akan mampu mengangkat industri padi beras kepada skala lebih baik.

“Ini kerana, keluasan sawah padi sedia ada akan dapat meningkatkan pengeluaran hasil,” katanya selepas melancarkan Logo Smart SBB, Aplikasi Rice Information Management System (RIMS), Ladang’ 57 Beras Wangi Horeca dan 3FR SOP Manual di Laman Padi, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hari ini.

Ronald Kiandee merasmikan pada Majlis Perasmian Pelancaran Logo Smart SBB, dan Perasmian Aplikasi Rice Information Manegment System (RIMS) di MAEPS Serdang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 07 OGOS 2022.

Jelas beliau, teknologi-teknologi yang digunakan dalam pengurusan industri padi beras terbukti dapat meningkatkan hasil padi, sekaligus memudahkan kerja pesawah.

“Beberapa ladang contoh yang kita buat awal sejak 2001 menunjukkan potensi untuk meningkatkan hasil padi daripada 3.2 metrik tan satu hektar kepada lebih 10 metrik tan per hektar ini melalui pengurusan dan teknologi terkini,” tambah beliau.

Terdahulu Ronald dalam ucapannya berkata,  RIMS merupakan sistem sokongan keputusan digital yang menggunakan teknologi Internet of Things, kecerdasan buatan, data raya dan teknologi sensor atau satelit untuk memberikan nasihat masa nyata, ramalan, dan preskripsi untuk industri penanaman padi.

RIMS dibangunkan oleh oleh Syarikat Agrocloud Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut.

Aplikasi ini merupakan inisiatif MAFI untuk terus memperkukuhkan pengeluaran padi dan beras.

Dalam majlis yang sama, Ronald turut menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) SMART SBB antara MAFI dan tiga lagi syarikat peneraju iaitu Syarikat Mastani Sdn. Bhd; Konsortium Padi dan Beras Rakyat Sdn. Bhd dan Syarikat Qudsi Global Sdn. Bhd. – MalaysiaGazette