Pengerusi Jemaah Pengarah (NAFAS), Datuk Zamri Yaakob menjual ayam beku kepada orang ramai ketika melawat ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 07 OGOS 2022.

SERDANG – Reruai Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mendapat sambutan hangat pada hari keempat penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022, hari ini.

Pavilion Nafas tidak putus-putus dikunjungi oleh orang awam dan juga para peladang.

Jualan ayam beku oleh Nafas mendapat sambutan dalama kalangan orang ramai ketika melawat ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 07 OGOS 2022.

Mana tidaknya, pelbagai aktiviti menarik yang disediakan di reruai berkenaan.

Antaranya adalah Pameran Rantaian Nilai Ayam, Jualan Murah Ayam, Jualan Kopi dan produk peladang.

Zamri Yaakob

Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob berkata, satu lagi aktiviti yang paling ditunggu-tunggu adalah Peraduan Jawab & Menang yang menawarkan hadiah lumayan termasuk bar emas (50g), telefon bimbit, televisyen dan lain-lain lagi.

“Pameran yang diadakan adalah bidang perniagaan kita, apa yang kita keluarkan seperti ayam, anak ayam, makanan ayam, penternakan ayam semua kita ada dalam Nafas sejak ditubuhkan,” katanya ketika ditemui di reruai Nafas hari ini.

Zamri Yaakob melawat ke tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 07 OGOS 2022.

Beliau berkata sambutan luar biasa di reruai Nafas sejak MAHA 2022 bermula 4 Ogos yang lalu mengatasi jangkaannya.

“Saya amat berpuas hati dengan sambutan sebab pameran Nafas antara yang ramai pengunjung,” tambah beliau.

Selain penglibatan utama di Pavilion Nafas, ia juga terlibat di segmen lain iaitu Laman Padi, Laman Mekanisasi dan Laman Agro-Edutainment serta Nafas Cube.- MalaysiaGazette