tertiary education graduates convocation universities UTHM
Gambar hiasan

BARU-baru ini, terdapat kajian mendapati bahawa 72% pelajar lepasan SPM memilih untuk tidak melanjutkan pengajian mereka di peringkat yang lebih tinggi. Terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada masalah ini. Antaranya adalah kerana kembimbangan mereka terhadap pasaran pekerjaan selepas menamatkan pengajian mereka di universiti.

Pada tahun 2021, terdapat 5,023,400 graduan berada dalam pasaran buruh namun hanya 4,787,800 graduan sahaja memperolehi pekerjaan. Manakala 235,600 graduan lagi tidak mendapat pekerjaan. Ini bermakna 4.69% graduan terpaksa menganggur.

Statistik ini tidak mengambil kira graduan yang bekerja tetapi tidak dibayar setimpal dengan kelayakan mereka. Masih ramai graduan yang dibayar gaji minimum iaitu RM1,500 meskipun sudah mempunyai ijazah. Situasi ini telah memberi tanggapan yang negatif kepada sesetengah masyarakat iaitu mempunyai ijazah bukan menjamin masa depan yang cerah.

Oleh disebabkan itulah sesetengah ibu-bapa tidak mengalakkan anak-anak mereka menyambung pengajian di universiti ataupun kolej. Sebenarnya, kita tidak seharusnya menyalahkan pasaran pekerjaan sepenuhnya. Ini adalah kerana hasil tinjauan ke atas beberapa graduan yang sudah bekerja dan yang sedang mencari pekerjaan mendapati bahawa kemahiran komunikasi adalah faktor utama kenapa mereka gagal memperoleh pekerjaan dan ada yang terpaksa menerima pekerjaan yang tidak setimpal dengan kelayakan mereka.

Kegagalan mereka dalam berkomunikasi sama ada dalam bahasa Inggeris ataupun bahasa Melayu menyebabkan mereka hanya terpilih untuk ditemuduga sahaja dan sering gagal dalam mendapatkan pekerjaan yang mereka impikan meskipun pencapaian akademik mereka baik. Sesetengah graduan ditegur semasa ditemuduga kerana tidak boleh berkomunikasi dengan baik.

Selain daripada itu, kepetahan berbahasa inggeris juga merupakan faktor ke dua penting kenapa mereka tidak mendapat pekerjaan. Ada yang berasa kesal kerana menganggap bahawa bahasa antarabangsa itu tidak penting sebelum ini dan kesal tidak memperbaiki penguasaan bahasa tersebut sewaktu mereka berada di universiti. Sikap tidak serius dalam mempelajari bahasa tersebut sewaktu menghadiri ke kelas bahasa Inggeris menampakkan kesan buruk pada masa kini.

Selain daripada itu, keengganan sesetengah graduan untuk berhijrah ke negeri-negeri lain juga menjadi salah satu faktor kenapa mereka kekal menganggur atau bekerja dengan berpedapatan yang tidak setimpal dengan kelayakan mereka. Ramai graduan terpaksa behijrah ke negeri-negeri lain seperti, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan sebagainya untuk memperolehi pekerjaan. Ada juga yang terpaksa behijrah ke negara jiran seperti Singapura untuk bekerja dan memperolehi gaji yang lebih lumayan kerana perbezaan nilai mata wang dan taraf hidup.

Selain daripada itu faktor pencapaian akademik juga menjadi faktor kenapa mereka tidak dipilih untuk ditemuduga. Kebanyakan graduan memperolehi nilai CGPA atas 3.00 lebih mudah dipanggil untuk ditemuduga berbanding dengan graduan yang memperolehi nilai CGPA bawah 3.00. Oleh itu, graduan harus memperbaiki kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh majikan semasa mereka berada di universiti. Segulung ijazah sahaja tidak mencukupi untuk mendapatkan pekerjaan yang diimpikan.

Dr Mohd Shahidan Shaari
Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan
Universiti Malaysia Perlis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast