Saiful Bahri nekad berhenti merokok selepas dua kali mendapat serangan jantung.

GEORGE TOWN – Tahan kesakitan akibat serangan jantung di tempat kerja cukup membuatkan dirinya nekad mengatasi ketagihan akibat tabiat merokok.

Biar pun pernah gagal selepas lapan bulan berhenti merokok, Jurutera Mekanikal Universiti Sains Malaysia (USM), Saiful Bahri Abd Jamil, 58, tetap tidak mahu mengalah dan bersemangat menjalani rawatan berhenti merokok.

Saiful Bahri mula menghisap rokok ketika usia 22 tahun kerana gaya hidup ketika bersama sekumpulan rakan sebelum menjadi perokok tegar.

Katanya, serangan jantung kali pertama dialaminya pada 2007 menyebabkan dia terlantar di wad selama beberapa minggu dan hampir meragut nyawanya.

Saiful Bahri.

“Ketika itu saya menghadapi cabaran bekerja, tambahan pula dengan tabiat merokok menyebabkan serangan jantung itu berlaku ketika melakukan tugasan di pejabat.

“Memang takut dan hanya ingat kematian, sebelum saya ambil keputusan untuk cuba berhenti merokok dan turut mendapat sokongan daripada isteri serta lima anak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Saiful Bahri lagi, dia kemudian berjaya mengatasi ketagihan itu apabila tidak menyentuh rokok selama lapan bulan.

Sepanjang tempoh itu, badannya mula terasa ringan selain dapat menjimatkan wang lebih RM300 sebulan.

“Memang agak sukar terutama minggu pertama dan ibarat seperti berperang dengan diri sendiri, sentiasa gelisah serta berasa ada sesuatu yang tidak kena.

 “Namun, saya kembali mengalami ketagihan selepas menerima pelawaan rakan dengan ayat ‘sekali ini sahaja’ sebelum aktif merokok semula,” katanya lagi.

Serangan jantung kali kedua menyebabkan Saiful Bahri mengambil keputusan bagi berhenti semula merokok dengan mendapatkan rawatan ketagihan di Klinik Berhenti Merokok (KBM) Pusat Sejahtera USM dan memilih bulan Ramadan bagi permulaan menghentikan tabiat itu.

“Biar pun pada usia lewat namun ia bukan penentu bagi seseorang itu berhenti merokok dan apabila bersara kelak, saya tidak mahu ‘sibuk’ berulang alik ke hospital akibat pelbagai masalah kesihatan tetapi mahu menghabiskan masa lapang dalam keadaan sihat bersama keluarga,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL  BERKAITAN:

342 perokok dirawat di Klinik Berhenti Merokok USM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast