Dr Mohd Hisyamuddin Sabery (kanan)menunjukkan ubat yang digunakan untuk merawat ketagihan perokok di Klinik Berhenti Merokok di Pusat Sejahtera USM, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Inisiatif berterusan sejak 20 tahun lalu Klinik Berhenti Merokok (KBM), Pusat Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM) di sini bagi menangani ketagihan merokok membuahkan hasil.

Pegawai Perubatan Pusat Sejahtera USM Dr. Mohd Hisyamuddin Sabery berkata, ia susulan seramai 342 individu yang tekad mahu berhenti merokok dirawat di klinik berkenaan sejak ia ditubuhkan pada tahun 2002.

Jelas beliau, daripada jumlah itu, seramai 80 individu atau 23 peratus daripadanya berjaya menghentikan tabiat buruk mereka.

“Majoriti yang menerima rawatan di sini adalah lelaki berbanding wanita dan kebanyakannya terdiri daripada pelajar iaitu seramai 194 individu atau 56 peratus.

“Mereka merupakan golongan berusia lingkungan 20 hingga 55 tahun itu ada yang datang secara sukarela bagi menjalani rawatan dan pemantauan susulan selalunya dilakukan bagi tempoh antara seminggu sehingga enam bulan bergantung kepada tahap ketagihan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Mohd Hisyamuddin, kebanyakan pesakit yang menjalani rawatan mengalami gejala seperti menggigil, kemurungan, selisah atau peningkatan berat badan ketika proses berhenti merokok.

Namun, katanya, selepas lebih dua minggu, badan dan kulit pesakit biasanya bertambah sihat, bibir kurang gelap selain warna kekuningan pada gigi juga pudar.

“Jika lihat pada perkembangan pengambilan rokok elektronik atau vape pada masa ini yang meningkat secara drastik, kita bimbang akan muncul gejala baharu berkaitan pengambilannya berikutan kandungan cecair daripada peranti itu dipercayai mengandungi nikotin atau dadah sebagai perisa.

“Ada juga dalam kalangan pelajar sekolah yang menghisap vape menyebabkan kesukaran menghentikan ketagihan dan kita juga menjalankan penyelidikan serta meneliti proses sesuai bagi menghentikan ketagihan mereka berikutan usia muda,” jelasnya. – MalaysiaGazette