Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Tahap simpanan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah rendah dan sangat membimbangkan selepas empat pengeluaran – i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas serta pengurangan kadar caruman berkanun syer pekerja bagi tempoh 27 bulan antara April 2020 sehingga Jun 2022.

Secara keseluruhannya, impak program-program berkaitan Covid-19 ini ke atas simpanan ahli dianggarkan sebanyak RM155 bilion.

Daripada jumlah itu, RM145 bilion dikeluarkan oleh ahli di bawah keempat-empat program pengeluaran dan hampir RM10 bilion impak daripada program pengurangan kadar caruman berkanun syer pekerja.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, setakat 30 Jun 2022, seramai 6.62 juta ahli atau 52 peratus daripada 12.78 juta keseluruhan ahli KWSP berumur di bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

Daripada bilangan tersebut, 4.99 juta ahli atau 75 peratus adalah ahli Bumiputera.

Pada masa yang sama, terdapat seramai 3.20 juta ahli berumur di bawah 55 tahun yang berada pada tahap simpanan yang amat kritikal iaitu kurang daripada RM1,000, yang mana 2.58 juta ahli atau 81 peratus daripada mereka adalah ahli Bumiputera.

Sebagai perbandingan relatif, jumlah ahli Bumiputera iaitu seramai 8.22 juta orang adalah 64 peratus daripada 12.78 juta keseluruhan ahli KWSP yang berumur di bawah 55 tahun.

Mohd Shahar menjawab soalan Senator Datuk Razali Idris yang meminta Kementerian Kewangan mmenyatakan langkah untuk menyelamatkan ahli pencarum KWSP yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dan 55 peratus daripadanya adalah Bumiputera, malah lebih membimbangkan 79 peratus daripada ahli KWSP mempunyai simpanan kurang RM1,000 juga adalah dalam kalangan Bumiputera

Menurutnya, ini menunjukkan kebanyakan ahli bumiputera adalah tertumpu dalam kalangan ahli yang mempunyai tahap simpanan KWSP yang rendah berbanding kaum-kaum lain.

Dalam usaha untuk membantu ahli menambah dan membina kembali simpanan persaraan mereka, KWSP menyediakan pelbagai saluran untuk memudahkan ahli mencarum ke dalam KWSP.

Bagi ahli yang bekerja dan mempunyai majikan, mereka boleh memilih untuk mencarum melebihi kadar caruman berkanun syer pekerja iaitu 11% pada bila-bila masa.

Selain itu, mereka juga boleh mencarum sendiri pada bilabila masa tertakluk kepada amaun maksimum RM60,000 setahun.

Bagi ahli yang bekerja sendiri, tiada pendapatan tetap atau di luar tenaga buruh seperti pelajar dan suri rumah yang berumur di bawah 60 tahun turut boleh memilih untuk mencarum secara sukarela pada bila-bila masa mengikut kemampuan di bawah Program i-Saraan sehingga RM60,000 setahun.

Sebagai insentif untuk menggalakkan golongan ini menyimpan di bawah i-Saraan, kerajaan memberikan sumbangan sebanyak 15% daripada jumlah caruman, atau sehingga RM250 setahun.

Bagi Ketua Isi Rumah (KIR) atau isteri kepada KIR yang berumur di bawah 55 tahun dan berdaftar di bawah pengkalan data eKasih, mereka turut boleh mencarum secara sukarela di bawah Program Kasih Suri Keluarga Malaysia (sebelum ini dikenali sebagai Program i-Suri) yang diperkenalkan bagi menggalakkan wanita daripada isi rumah berpendapatan rendah untuk menyimpan demi hari tua mereka.

Mohd Shahar menambah, di bawah program ini, ahli yang mencarum sekurang-kurangnya RM5 sebulan atau RM60 setahun adalah layak untuk menerima insentif daripada kerajaan sebanyak RM40 sebulan atau RM480 setahun ke dalam akaun KWSP
mereka.

KWSP juga menitikberatkan kepentingan ke atas kesedaran dan pengetahuan mengenai perancangan kewangan dan persaraan dalam menyeimbangkan keperluan kewangan untuk hari ini dan kepentingan persaraan di masa hadapan. – MalaysiaGazette