Mat Kassim.

GEORGE TOWN – Sekurang-kurangnya 300 kemalangan membabitkan motosikal berlaku setiap hari di negara ini dalam tempoh tiga tahun sejak 2019.

Daripada jumlah itu, sembilan penunggang motosikal dilaporkan maut setiap hari dalam tempoh sama.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, berdasarkan statistik pihaknya mendapati kadar kemalangan motosikal meningkat selepas pandemik Covid-19 iaitu sebanyak 122,368 kemalangan membabitkan motosikal dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Jelas beliau, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 33,226 kes berbanding tahun 2020.

“Mengikut data kita, jumlah kematian membabitkan motosikal pula, seramai 3,959 individu dilaporkan meninggal dunia sepanjang tahun 2019 dan diikuti dengan 3,118 (2020) serta 3,111 (2021).

“Bagi kes kecederaan parah pula, sebanyak 2,009 kes direkodkan bagi tahun 2019 dan 2,599 sepanjang tahun lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Mengulas lanjut Mat Kassim berkata, seramai 6,889 individu diberkas menerusi Ops Samseng Jalanan yang dilakukan JSPT seluruh negara sejak 2020 hingga Jun lalu.

“Daripada jumlah itu, 6,308 individu ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Tangkapan mengikut negeri pula, Johor mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi dan diikuti dengan Kuala Lumpur, Selangor serta Kedah.

“Kita akan mempergiatkan lagi operasi samseng jalanan bagi membanteras kegiatan lumba haram serta mat rempit yang kini semakin berleluasa,” tegasnya. – MalaysiaGazette