KUALA LUMPUR – Bandaraya Melaka bakal digegarkan dengan penganjuran konsert muzikal yang mengetengahkan lapan artis terkenal sepanjang zaman pada 3 September ini.
Persembahan muzik bertema ‘Konsert Rakyat Melaka’ itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) itu bakal berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC).
Penganjuran konsert itu juga adalah untuk meraikan sambutan ulang tahun kelahiran Yang Di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang ke-73.
Penganjur, Jojo Events buat julung kalinya tampil di Melaka dengan tema rakyat ini akan menggabungkan enam artis lagenda bersama-sama bintang-bintang baharu dalam persembahan tersebut.
Antara nama besar yang akan menyertai konsert tersebut ialah Papa Rock atau Ramli Sarip, Ratu Rock Ella, Alleycats, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Jaclyn Victor, kumpulan rock retro Kugiran Masdo serta gandingan hebat suami isteri, Syamel dan Ernie.
Setiap artis yang hadir akan menghiburkan peminat dengan lagu-lagu hebat mereka sepanjang zaman, hits klasik serta carta hebat semasa.
Sebahagian daripada mereka akan menyampaikan persembahan dalam suasana orkestra dengan iringan 13 buah orkestra dari Institut Warisan Melaka.
Pemilik Jojo Events, Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir atau lebih terkenal dengan jolokan Tan Sri Jojo menyatakan teruja menganjurkan Konsert Rakyat Melaka.
“Saya gembira dapat bawa nama-nama besar lagenda negara ini di bawah satu bumbung, di Melaka.
“Sememangnya Jojo Events melakar sejarah muzik sepanjang zaman. Pastinya konsert Rakyat Melaka ini di nanti-nantikan apatah lagi dengan nama-nama artis ini,” katanya.
Tiket Konsert Rakyat Melaka dijual pada harga antara RM50 sehingga RM100 bermula 10 Ogos ini menerusi RedTix. -MalaysiaGazette