Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki penjaga setor yang mengganggu kuliah di surau dengan menarik mikrofon dan menjerit ke arah penceramah di Surau Baitul Ehsan, Ampang Campuran, di sini, pada Ahad lalu membawa padah apabila dia ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, semasa berlangsung kuliah Subuh, seorang lelaki tidak dikenali menghampir penceramah lalu menarik mikrofon dan menjerit menyatakan kuliah tersebut terlalu bising dan mengganggunya.

“Tindakan lelaki tersebut tidak beradab dan telah mengganggu tempat ibadah dan jemaah surau yang lain sebelum jemaah surau berkenaan telah bertindak menghalangnya melakukan perkara yang lebih parah dan meminta beliau meninggalkan surau tersebut dengan cara baik,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kira-kira jam 7 malam semalam, sepasukan polis telah membuat tangkapan terhadap seorang suspek lelaki berusia 34 tahun di Jalan Ikan Emas Mesra kerana disyaki terlibat dalam jenayah tersebut.

“Semakan lanjut polis mendapati, suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau dalam kesalahan dadah dan ugutan jenayah.

“Suspek kini telah direman selama empat hari sehingga 12 Ogos ini untuk membantu siasatan lanjut polis,’ ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu berniat melukakan perasaan agama seseorang yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1956 iaitu kelakuan aib dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100, ujar beliau. – MalaysiaGazette