Dr Sahruddin Jamal

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran supaya menjalankan siasatan dengan pantas berhubung perolehan kapal Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ketua Badan Pimpinan Negeri Johor Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, siasatan perlu dilakukan bagi memastikan isu berkenaan dapat dirungkai segera memandangkan ia telah menjadi bualan rakyat.

Katanya, rakyat sudah tentu ingin mengetahui mengapa bayaran oleh pihak kerajaan sebanyak RM6.083 billion bagi projek runding terus ini dilakukan tetapi sehingga kini tiada kapal diserahkan kepada pihak TLDM.

“Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkenaan perolehan kapal Littoral Combat Ship (LCS) atau Kapal Tempur Pesisir bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah amat mengejutkan.

“Sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS yang telah disenaraikan oleh PAC menerusi laporan tersebut tidak boleh diterima oleh rakyat, selain memberikan kesan negatif terhadap moral warga TLDM.

“Bagaimanapun, perolehan LCS ini perlu diteruskan kerana ianya merupakan perolehan kritikal demi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara seperti yang dimaklumkan oleh pihak TLDM dalam kenyataan media bertarikh 6 Ogos 2022,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Sahruddin berkata, bagi memastikan perolehan LCS itu dapat disiapkan sepenuhnya berdasarkan jadual yang baharu berserta pertambahan kos yang minimum, sebuah jawatankuasa perlu diwujudkan bagi melakukan penelitian dan pemantauan projek secara terperinci.

Beliau turut menggesa supaya isu yang telah mencemarkan nama baik Kementerian Pertahanan sebagai pihak atasan yang tidak menerima pandangan TLDM sebagai end user untuk menggunakan reka bentuk SIGMA berbanding GOWIND.

“Bersatu juga mendesak petualang yang menjadi punca segala permasalahan ini supaya tampil dan mengambil tanggungjawab dengan membuat kenyataan penuh atas kecuaian yang dilakukan sekali gus kegagalan menjaga kepentingan negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette