Polis sedang mengesan suspek samun wanita yang melarikan diri dengan kenderaan Myvi yang dicuri dalam kejadian di Klang pagi semalam.- Gambar ihsan IPD Klang Selatan.

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan suspek lelaki yang dikatakan terlibat dalam jenayah samun membabitkan mangsa seorang wanita tempatan di Jalan Sungai Jati, Klang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam kejadian 11. 26 pagi itu, seorang wanita yang bekerja sebagai pengurus barangan online menjadi mangsa.

Mangsa dalam aduan itu menyatakan kira-kira pukul 8.30 pagi, wanita berkenaan sampai di hadapan kedainya sebelum datang sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna biru berhenti di tepi jalan.

“Kemudian turun seorang lelaki warga tempatan (suspek) dan terus menuju ke arah pengadu. Suspek telah mengacukan sebilah pisau serta menarik beg sandang mangsa dan berlaku sedikit pergelutan.

“Setelah itu, suspek berjaya menarik beg sandang itu dan terus melarikan diri menggunakan kenderaan yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

polis sedang mengesan suspek samun yang melarikan diri dengan kenderaan Myvi yang dicuri dalam kejadian di Klang pagi semalam. Ihsan IPD Klang Selatan

Tambah Hoong Fong, hasil siasatan polis mendapati suspek dipercayai lebih daripada seorang kerana salah seorang daripada mereka turun dari pintu belakang kereta dan suspek telah mengacukan pisau dan menarik beg sandang milik pengadu.

Dalam kejadian itu, katanya, pengadu bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius.

Semakan lanjut mendapati pengadu telah mengalami kerugian sebanyak RM3,000 dimana terdapat wang tunai, rantai emas, telefon bimbit dan dokumen diri di dalam beg sandang berkenaan.

“Rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian diperoleh dan didapati boleh membantu siasatan sebelum kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan samun berkumpulan dengan senjata.

“Didapati pengadu dalam kes ini telah menularkan kejadian samun tersebut dalam laman media sosial Facebook sebelum membuat laporan polis.

“Setelah itu, pada hari sama, kira-kira pukul 10.55 pagi, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan telah menerima maklumat dari orang awam mengatakan terdapat sebuah kereta yang terbakar di kawasan Taman Sentosa.

“Kereta peronda dan bomba telah sampai ke lokasi tempat kejadian dan mendapati sebuah kereta Perodua Myvi warna biru terbakar dan berjaya dipadamkan sebelum hasil semakan lanjut mendapati kereta tersebut merupakan kenderaan
yang sama digunakan suspek untuk menyamun mangsa di kawasan kedai di Sungai Jati. Klang,” ujarnya.

Tegasnya, semakan berdasarkan nombor casis dan nombor enjin kereta itu mendapati kereta tersebut telah dilaporkan hilang pada 14 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Hoong Fong berkata, kenderaan tersebut telah ditunda ke IPD Klang Selatan untuk pemeriksaan lanjut sebelum hasil pemeriksaan di dalam kereta terbakar itu telah menjumpai beberapa barang yang boleh membantu siasatan.

“Pihak polis sedang mempergiatkan usaha untuk mengesan dan menangkap suspek yang terlibat,” katanya. – MalaysiaGazette