Emilia Hanafi (kanan).- Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman bekas isteri ahli perniagaan terkenal, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal berhubung bidang kuasa Mahkamah Syariah Kuala Lumpur memulakan prosiding komital terhadapnya.

Prosiding komital terhadap Emilia Hanafi, 43, itu berhubung tindakannya melanggar perintah mahkamah mengenai hak lawatan SM Faisal antaranya membabitkan hak bermalam dan lokasi untuk bekas suaminya itu mengambil tiga anaknya.

Peguam Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md Ali yang mewakili AGC berkata, bantahan itu dibuat atas alasan prosiding komital tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan tidak tertakluk kepada semakan kehakiman, berdasarkan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir yang mewakili Emilia pula berhujah Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa kuasa untuk memulakan prosiding komital adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Nizam Bashir berkata, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur tidak boleh mendengar prosiding komital yang dikenakan terhadap anak guamnya kerana wanita itu tidak lagi bermastautin di Wilayah Persekutuan dan kini tinggal di Kajang, Selangor.

Sementara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili SM Faisal dan ibunya, Puan Sri Zaleha Ismail yang turut dinamakan sebagai responden berkata, semasa prosiding komital bermula, SM Faisal dan Emilia tinggal di Kuala Lumpur dan wanita itu berpindah ke Selangor hanya selepas kes itu bermula.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan 30 Ogos untuk keputusan permohonan tersebut.

Beliau turut menolak permohonan Emilia untuk menggantung prosiding komital yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi Syariah.

Selain SM Faisal dan Zaleha, turut dinamakan sebagai responden ialah Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia.

Berdasarkan permohonan semakan kehakiman, Emilia tidak tinggal atau bermastautin di Wilayah Persekutuan dan semasa prosiding hadhanah difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 23 Julai 2018, beliau tinggal atau bermastautin di Kajang.

Beliau berkata, Seksyen 4 Akta Undang-Undang Keluarga (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 adalah terpakai untuk semua orang Islam yang tinggal dalam Wilayah Persekutuan dan yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan tetapi tinggal di luar Wilayah Persekutuan.

Emilia memohon deklarasi bahawa Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur tidak memiliki bidang kuasa untuk mendengar serta menghukum mana-mana individu yang menghina mahkamah sebaliknya bidang kuasa itu adalah hak eksklusif mahkamah sivil di peringkat Mahkamah Persekutuan, Rayuan dan Tinggi, menurut Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan. – Bernama