Pelari pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi yang bertanding di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia, Cali, Colombia memeluk ibu bapa beliau, Mohd Fahmi Tajuid (kiri) dan Norazah Ibrahim (kanan) ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MOHD ADZLAN, 10 OGOS 2022.

SEPANG – Pelari pecut negara yang baharu, Muhammad Azeem Fahmi berada dalam dilema untuk memilih universiti terbaik bagi melanjutkan pengajian dan mengembangkan kerjayanya dalam sukan olahraga.

Pemegang rekod kebangsaan acara pecut 100 meter berusia 18 tahun itu berkata, setakat ini dua universiti dalam pertimbangannya iaitu Universiti Houston dan Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS).

Katanya, jika dia memilih Universiti Houston, salah satu sebab adalah kerana universiti itu sudah melahirkan ramai jaguh pecut bertaraf dunia selain legenda AS yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik sembilan kali, Carl Lewis sebagai ketua jurulatih.

“Selain itu, di Houston komuniti Islam di sana besar dan sedikit sebanyak dapat membantu saya dan menjamin keadaan saya di sana.

“Dari segi latihan, Universiti Houston sudah melahirkan jaguh pecut bertaraf dunia termasuk yang ada ketika ini Shaun Maswanganyi dari Afrika Selatan yang turut beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya kepada pemberita sejurus tiba dari Colombia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Menurut Muhammad Azeem, universiti itu memang terkenal dalam sukan olahraga dunia apabila ketua jurulatihnya adalah Lewis.

Bagaimanapun beliau berkata, baru-baru ini dia mendapat tawaran dari Universiti Auburn yang lebih bagus daripada segi akademik berbanding universiti sukan lain.

“Setakat ini, inilah dua universiti yang bermain dalam fikiran saya sekarang dan kedua-duanya ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

“Namun, kedua-dua ada dalam divisyen satu (saingan olahraga di AS). Ini adalah peluang untuk saya menyertai kejohanan besar lain seperti Kejohanan Dunia, Sukan Olimpik dan Liga Berlian.

“Apapun saya akan bincang dengan keluarga dan jurulatih untuk memutuskan universiti mana yang terbaik untuk masa depan saya,” ujarnya.

Pelari pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi bergambar bersama pelajar sekolah sukan negeri Perak, SMK Gunung Rapat selepas tiba dari Kejohanan Olahraga Remaja Dunia yang berlangsung di Cali, Colombia ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MOHD ADZLAN, 10 OGOS 2022.

Azeem memperbaharui rekod kebangsaan milik Khairul Hafiz Jantan dengan 10.18s ketika menjuarai saingan Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Sarawak.

Beliau yang layak ke peringkat akhir bagaimanapun terpaksa akur menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan catatan 10.14s.

Selain Houston dan Auburn, Azeem yang meraih keputusan 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut menerima tawaran daripada dua lagi universiti iaitu Minnesota dan Oregon.

Pelari muda itu berkata, jika semuanya berjalan dengan lancar, dia menyasarkan untuk mendaftarkan diri di universiti yang menjadi pilihannya pada Januari depan. – MalaysiaGazette