Foto: Polis Perak

MANJUNG – Polis menahan 61 pendatang asing tanpa izin termasuk tujuh wanita dipercayai menyusup dari negara jiran dengan menggunakan sebuah bot di 2.5 batu nautika dari Pulau Talang, di sini awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, mereka ditahan pada 2.15 pagi atas maklumat awam oleh Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh dan turut dibantu pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Penahanan tersebut turut membabitkan seorang tekong berumur 39 tahun dan dua pembantunya berumur 40 dan 45 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan telah dibawa ke Pengkalan Markas Operasi PPM bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Azizi, siasatan awal mendapati kesemua tahanan telah dikenakan bayaran berjumlah RM800 hingga RM4,000 oleh ejen di negara jiran bagi menyusup masuk ke negara ini.

“Tekong bot yang ditahan mengaku mereka berlepas dari negara jiran menuju ke Pulau Angsa dan Sekinchan, Selangor,” tambahnya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan 2012.

Justeru, beliau berterima kasih atas maklumat dan kerjasama orang awam serta mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan dengan menghubungi Balai Polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di talian 05-2401999 atau 05-2451073. – Bernama