KUALA LUMPUR – Parti Putra tidak terkejut dengan keputusan Pengerusi Perhubungan Perak, Datuk Hamidah Othman keluar parti itu kerana tidak bersetuju menyertai Gerakan Tanah Air (GTA) yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Presidennya, Datuk Paduka Ibrahim Ali berkata, beliau sudah menjangkakan tindakan bakal diambil Hamidah berdasarkan reaksi yang ditunjukkannya apabila Putra menyatakan akan menyertai GTA bersama Parti Pejuang dan Berjasa.
Katanya, turut bersama Hamidah keluar parti ialah Ketua Putra Bahagian Larut, Ahmad Hasbullah Alias dan beberapa ahli.
“Mereka memberi pelbagai alasan yang agak lucu dan tidak memeranjatkan dan ianya ibarat sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya.
“Putra langsung tidak terkejut, malah sudah menjangkakannya,” katanya dalam kenyataan media petang ini.
Hamidah dan Ahmad Hasbullah membuat keputusan itu dalam rakaman video yang disiarkan menerusi Tik Tok hari ini, yang menyatakan rasa tidak puas hati dengan Putra apabila menyertai GTA.
Menurut Ibrahim, pengurusan ibupejabat Putra menyambut baik hasrat mereka yang secara rasmi meletak semua jawatan dalam parti dan tidak akan bersama lagi.
Kata beliau, keputusan Putra menyertai GTA dibuat atas persetujuan Ahli Dewan Tertinggi (ADT) parti itu secara sebulat suara yang bermesyuarat pada 30 Julai lalu dan turut dihadiri Hamidah.
“Dalam mesyuarat itu Hamidah tidak bersuara, manakala semua ADT yang hadir bersuara dengan jelas dan lantang menyokong Putra menyertai GTA.
“ADT Putra yang memahami prinsip dan kaedah demokrasi serta menghayati semangat berjemaah kekal dengan perjuangan parti selaras ikrar sumpah setia sebagai ADT Putra.
“Mungkin ada lagi satu dua yang akan mengambil langkah sama. Saya menghormati dan menyambut baik keputusan mereka serta berlapang dada dan menyifatkan Putra kini akan lebih utuh dan kukuh sebab tidak lagi menghadapi masalah untuk menggerakkan parti di Perak dengan lebih aktif dan agresif,” ujar beliau.
Menurut Ibrahim, Hamidah memang diketahui umum adalah penyokong tegar Datuk Seri Najib Tun Razak dan merayu agar UMNO dapat menerimanya kembali sebagai ahli.
Jelas beliau, Putra bukan sebuah parti dijadikan transit oleh mana-mana pihak, iaitu sebelum seseorang itu ada tempat berteduh, maka Putra dijadikan dahan bergantung buat sementara.
Kata Ibrahim, Putra diasaskan oleh mereka yang insaf dan mempunyai semangat pengorbanan yang tinggi, teguh berjemaah dan tegas berprinsip.
“Hanya yang cekal sahaja mampu mengharungi dugaan, ranjau, onak dan duri serta boleh melakar perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air. Lagipun, Putra bukan tempat dan parti cari makan serta pangkat.
“Kepimpinan parti ini berasaskan musyawarah, jika gagal kata sepakat, suara majoriti menjadi keputusan. Bila suara majoriti bermakna ianya keputusan yang wajib dihormati dan patuhi oleh semua kepimpinan serta ahli.
“Saya mendoakan kepada mereka yang telah keluar Putra, agar selamat maju jaya dan carilah parti yang sesuai dengan cita rasa masing-masing. Putra tetap utuh melangkah ke hadapan sebagai parti yang akan mengalas kesinambungan perjuangan nasionalisma Melayu Islam yang digagalkan oleh parti lama kerana pangkat harta dan rasuah,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Putra, Borhan Ahmad Zakaria berkata, tindakan Hamidah dan Ahmad Hasbullah tidak menjejaskan momentum perjalanan perjuangan gerak kerja Putra.
Katanya, pemimpin datang dan pergi dan patah tumbuh hilang berganti.
Bagi melancarkan urus tadbir Putra Perak, Ketua Bahagian Teluk Intan, Mohd Fauzi Zulkifli dilantik sebagai Pemangku Pengerusi Badan Perhubungan negeri itu berkuatkuasa serta merta.
Menurut beliau, mesyuarat ADT Putra yang dipengerusikan Ibrahim pada 30 Julai lalu telah membuat beberapa ketetapan, antaranya, usaha mencari kesepakatan penggabungan parti parti Melayu telah dibentangkan secara terperinci mengenai nasib dan masa depan bangsa Melayu berdasarkan faktor ekonomi serta perpecahan bangsa.
Ketetapan lain ialah isu penggabungan itu telah dibincangkan sebanyak dua kali dalam Mesyuarat Bulanan ADT, yang mana ADT bersetuju sebulat suara menyertai GTA tanpa pertikaian. – MalaysiaGazette
Tahniaah Dato’ Hamidah…Putra skrg ni dah jd keldai tunggangan Medey plak…dulu dia tunggang DAP..rakyat pun tahu Ibrahim Ali ni penjilat tegar Medey Kerala