Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak terus mengasak Pakatan Harapan (PH) selepas bekas Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan mendakwa projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhenti pada tahun 2019 bukan kerana arahan kerajaan PH.

Tetapi disebabkan masalah kewangan yang dihadapi Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Bekas Perdana Menteri itu mempersoalkan jika syarikat Boustead berdepan dengan masalah kenapa kerajaan PH tidak membuat apa-apa untuk membantu syarikat itu supaya projek berkenaan dapat diteruskan.

Ini kerana, kata Najib, Boustead dimiliki Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan LTAT adalah tanggungjawab Kementerian Pertahanan.

”Sekiranya Boustead mengalami masalah kecairan kewangan untuk terus memajukan projek penting bagi negara, kenapa pula kerajaan PH dan LTAT bawah penjagaan kerajaan PH tak buat apa-apa untuk membantu Boustead menyelesaikan masalah dan meneruskan projek?

”Kenapa pandang sahaja dan membisu sepanjang tempoh?

”Korang pandang sahaja ketika pelaburan utama tabung simpanan veteran anggota tentera sedang terjejas? Patutlah dividend + bonus LTAT masa PH ciput pada 2.0% dan 2.5%,” katanya.

Soalnya lagi, kerajaan PH tidak tahu bagaimana hendak selesaikan masalah ke.

”Cantiknya permainan korang. Kerajaan PH (termasuk PPBM masa itu) biarkan Boustead milik LTAT untuk tidak mampu memajukan projek pada tahun 2018 sebelum kapal pertama dijadualkan untuk disiap setahun kemudian pada April 2019.
Lepas itu tanya mana kapal dan salahkan Najib?,” tambahnya. – MalaysiaGazette

PH akui projek LCS berhenti 2019 kerana masalah kewangan BNS