Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong (kiri)

KUALA LUMPUR – Bekas anggota Kabinet Pakatan Harapan (PH) mengakui bahawa projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhenti pada tahun 2019.

Bagaimanapun menurut bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan timbalannya, Liew Chin Tong, pemberhentian kerja pembinaan tersebut bukan atas arahan kerajaan PH.

Sebaliknya kerja-kerja berkenaan berhenti disebabkan masalah kewangan yang dihadapi oleh syarikat kontraktor Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang mengakibatkan ramai sub-kontraktor dan pengilang peralatan asal (OEM – Original Equipment Manufacturer) tidak meneruskan kerja.

“Projek LCS telah mengalami masalah kewangan sebelum Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kuasa.

“Setakat Ogos 2019, hutang BNS dengan institusi kewangan adalah sebanyak RM869 juta, dan hutang kepada OEM adalah RM767 juta. Hutang-hutang lain adalah RM102.2 juta.

“Jumlah hutang pada Ogos 2019 adalah sebanyak RM1.738 billion. Ramai sub-kontraktor dan OEM tidak lagi teruskan kerja kerana hutang. Kerajaan Pakatan Harapan tidak “membeku” projek LCS,” katanya dalam satu kenyataan bersama.

Mohamad dan Liew menjawab tuduhan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa projek LCS lewat disiapkan kerana kerja-kerja pembinaan telah dibekukan oleh Kerajaan PH semasa mentadbir negara.

“Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat tomahan bahawa Kementerian Pertahanan di bawah kerajaan PH telah ‘membeku’ projek LCS selama 15 bulan untuk siasatan atau telah ‘membekukan’ projek LCS sejak September 2019. Ini adalah satu penipuan,” katanya.

Kedua-dua mereka turut menyatakan perasaan terkejut dengan kenyataan Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Ahmad Nazim Abdul Rahman bahawa sebahagian dana LCS  telah digunakan untuk membiayai hutang lapuk BNS untuk projek lama iaitu New Generation Patrol Vessels  (NGPV).

Hutang tersebut bermula pada 1998 dan berakhir pada 2010 dengan “rescue fund” daripada kerajaan Malaysia sebanyak RM1.4 bilion tanpa sebarang penambahan peralatan mahupun skop kerja.

“Sebanyak RM6.08 bilion daripada siling RM 9.128 bilion telah dibayar kepada BNS oleh kerajaan Malaysia.

“Daripada RM 6.08 bilion tersebut, RM255 juta digunakan untuk menjelas hutang lapuk NGPV, RM141 juta untuk faedah yang dikenakan kepada hutang NGPV, dan RM349 juta untuk “cost increase on design activities with NGPV”. Sejumlah RM745 juta telah digunakan untuk “bailout” projek NGPV,” katanya.

Serentak itu mereka mendesak Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussin menyatakan adakah beliau bersetuju dengan Ahmad Nazim bahawa dana LCS boleh digunapakai untuk membayar hutang NGPV.

“Adakah projek LCS dimulakan dengan tujuan untuk “rolling” hutang lapuk NGPV?” tanya mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast