Muhammad Sanusi Md Noor

ALOR SETAR – Dua empangan sabo di kaki Gunung Inas, Baling akan dibina secepat mungkin bagi memperlahankan aliran air sungai dan menyekat aliran puing yang boleh mengakibatkan berlaku fenomena kepala air di kawasan berpenduduk.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan mengenal pasti lokasi bagi pembinaan empangan itu yang sebelum ini dibina di kaki Gunung Jerai, Yan.

“Di Gunung Inas, JPS beritahu nak bina dua empangan sabo, akan dibuat majlis pecah tanah secepat mungkin bagi pembinaan empangan pertama untuk memperlahankan aliran air dan menahan reba-reba kayu daripada menghentam orang ramai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah pemulihan kerosakan kawasan hutan di Gunung Jerai ekoran aktiviti ladang hutan dan kesan bencana aliran puing pada 4 Julai lepas.

Muhammad Sanusi juga berkata, kesan kerosakan akibat aliran puing di gunung itu, jika dipulihkan sekalipun dengan ditanam semula pokok hutan, akan terus menjadi laluan air pada masa akan datang.

Katanya apa yang boleh dilakukan di kawasan itu ialah membina empangan sabo bagi memperlahankan aliran air.

Beliau berkata, insiden hutan yang terjejas dan menjadi laluan air bukan hanya berlaku di Gunung Inas tetapi juga di kawasan lain.

“(Kawasan) Yang sudah ditebang atau dibalak, 30 tahun (lagi) ia akan jadi hutan balik, di tempat lain pun kalau kawasan hutan itu sudah jadi laluan air, bentuk muka buminya akan kekal macam itulah,” katanya.

Bencana banjir dan aliran puing yang berlaku pada 4 Julai lepas meragut tiga nyawa termasuk seorang wanita hamil empat bulan serta menjejaskan 12 kampung sekitar Daerah Baling. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast