ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu.

KUANTAN – Polis mengesahkan menerima dua laporan polis berhubung kes buli membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dua laporan diterima oleh pihaknya membabitkan pihak warden dan ibu penjaga berkenaan.

“Kes masih disiasat lanjut di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan perbuatan khianat.

“Laporan polis telah dibuat oleh warden, dan si pengadu seperti dalam media sosial, pihak polis sedang menyiasat setiap sudut berkaitan kes berkaitan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambahnya perkembangan lanjut berhubung kes itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat kerana memerlukan penyiasatan yang amat teliti.

Semalam tular di media sosial Facebook,  pengguna Nazrah Mohamed yang mendakwa tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak pengurusan MRSM Kuantan berhubung kes buli membabitkan anaknya.

Dalam hantarannya itu, ibu mangsa mendakwa wujud perbuatan khianat dan budaya gengsterism di sekolah itu.

Beliau turut berkongsikan baju sekolah anaknya yang diconteng dan rambut digunting ketika tidur.

Perkongsian itu mendapat perhatian dan pelbaga reaksi netizen sehingga 22,000 perkongsian dan 10,000 komen. – MalaysiaGazette