DAP Queen's counsel Najib Razak UK SRC International Sdn Bhd appeal Federal Court
Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Projek Lebuh Raya Bukit Kukus di Pulau Pinang yang pernah diagung-agungkan pembukaannya sebagai ‘kejayaan kerajaan DAP’ di negeri itu sebenarnya mengalami kelewatan dari segi pelaksanaannya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, projek yang dilancarkan oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada 2014 itu sepatutnya dijadualkan siap pada 2017.

Bagaimanapun, menurut beliau, hanya sebahagian daripada lebuh raya yang dikatakan tertinggi di Malaysia itu dibuka awal tahun ini.

“Malah, keseluruhan lebuh raya hanya dijangka siap pada tahun 2025 iaitu kelewatan lapan tahun,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Najib menambah, bagi jalan raya pertama untuk projek terowong Pulau Pinang, kelewatan untuk memulakan projek adalah tujuh tahun sejak kontrak utama ditandatangan pada 2013 ketika kerajaan DAP memeterai perjanjian sub kontrak pada 2019 untuk memulakan kerja pembinaan.

Malangnya, kata Ahli Parlimen Pekan itu, selepas tiga tahun perjanjian subkontrak ditandatangan dan sembilan tahun selepas kontrak utama ditandatangan, satu inci jalan raya tersebut masih belum dibina.

“Peliknya sekali bahawa DAP tak mahu pula buat siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap kelewatan lima tahun, tujuh tahun, lapan tahun dan sembilan tahun projek-projek mereka pula,” katanya.

Berhubung isu kapal tempur pesisir (LCS), Najib mengakui pembinaan projek itu memang lewat ketika beliau menjadi perdana menteri iaitu tahap kemajuan 50.15 peratus berbanding kemajuan yang dijadualkan sekitar 70.58 peratus setakat Januari 2018 seperti diakui bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan bekas timbalannya, Liew Chin Tong.

“Ini kes projek lewat. Ya, projek memang lewat tetapi bukan ditangguh atau dibekukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018 dan 2019.

“Pembinaan projek-projek perumahan oleh pemaju swasta pun boleh lewat tetapi boleh diselamatkan atau diselesaikan,” jelasnya.

Menurut beliau, terdapat perbezaan antara projek yang mengalami kelewatan dan projek yang dibeku sepenuhnya.

“Tetapi sebab projek terhenti masa kerajaan PH memerintah sehingga ia disambung semula oleh kerajaan baharu pada Mei 2022 ini, kelewatan projek LCS menjadi sangat parah. Lalu PH tanya mana kapal?” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast