Bangunan Parlimen utama
Bangunan Parlimen

KUALA LUMPUR – Dewan Negara hari ini meluluskan dua Rang Undang Undang (RUU) pindaan iaitu RUU Kastam (Pindaan) 2022 dan RUU Eksais (Pindaan) 2022 dengan majoriti suara bersetuju.

Dua RUU itu dibaca kali kedua dan ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa.

Menurut beliau RUU Kastam (Pindaan) 2022 yang diluluskan itu adalah bagi meminda Akta Kastam 1967 (Akta 235) dengan tujuan menambahbaik perundangan percukaian negara.

Ini katanya, supaya selari dengan perubahan semasa perniagaan.

“Pindaan utama Akta 235 ini berbangkit susulan pandemik Covid-19, di mana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mengehadkan aktiviti dan operasi perniagaan menyebabkan pembayar cukai tidak dapat melaksanakan obligasi di bawah akta.

“Oleh itu, peruntukan baharu dimasukkan ke dalam Akta 235 bagi membolehkan fasilitasi tertentu diberikan kepada pembayar cukai ketika berlakunya kecemasan awam atau krisis kesihatan awam,” katanya ketika menggulung perbahasan usul pindaan dua RUU berkenaan di Dewan Negara, hari ini.

Dalam pindaan itu, beliau menghuraikan setiap fasal dalam RUU berkenaan yang mengandungi 16 fasal.

Katanya, pindaan Akta 235 itu bersifat positif yang memberi manfaat kepada pembayar cukai dalam menyempurnakan obligasi di bawah Akta 235 dan perundangan subsidiarinya.

Sementara itu, kata Yamani Hafez, RUU Eksais (Pindaan) 2022 adalah bagi meminda Akta Eksais 1976 (Akta 176).

Pindaan utama dilaksanakan dalam akta itu merupakan pindaan sama dalam RUU Kastam (Pindaan) 2022 iaitu bagi memasukkan peruntukan baharu yang membolehkan fasilitasi tertentu diberikan kepada pembayar cukai ketika berlakunya kecemasan awam atau krisis kesihatan awam.

Beliau turut menghuraikan setiap fasal dalam RUU itu yang mengandungi 11 fasal, di mana keseluruhannya juga bersifat positif, iaitu memberi manfaat kepada pembayar cukai dalam menyempurnakan obligasi di bawah Akta 176 dan perundangan subsidiarinya. – MalaysiaGazette